Pertama kali saya mengenali kaedah time-out melalui rancangan Nanny 911. Itu waktu SPM dulu.

Dalam rancangan tu, saya menyaksikan dramatik perilaku anak-anak seawal usia 7 tahun menampar ibu sendiri, menjerit sambil berguling di lantai, menyepak terajang anak jiran dan macam-macam lagi tingkah laku yang mencabar.

Saya yang tengok ni pun rasa lemah jantung, apatah lagi si ibu yang menghadapnya setiap hari, tetapi dengan datangnya bantuan si pengasuh bernama Jo Frost ini, tidak pernah ada kes yang gagal ditangani.

Antara kaedah yang paling popular diguna Jo Frost adalah kaedah time out. Time-out adalah kaedah mengasingkan anak di satu tempat (biasanya di penjuru bilik) supaya mereka bertenang selepas membuat tingkah laku mencabar.

Rupanya mengendali anak tidak semudah kencang berkata. Bila sudah ada anak ni, baru tau. Nak mengaplikasi kaedah time-out yang diguna Nanny Jo Frost tu sendiri pun dah susah. Saya sangka, bila minta anak mengadap dinding, anak boleh jadi pak turut, redho menyua muka ke penjuru.

Hakikatnya, sebut sahaja “tengok dinding”, ekspresi anak dah macam baru lepas dijatuhkan hukum sebat. Bukan telinga saya je perit dijerit. Jiran-jiran dan tok imam pon sampai kaget, get ready nak baca ruqyah. Punya seram arahan ‘tengok dinding’ tu pada anak.

Tapi itu saya sebelum berguru dengan pengalaman dan kelas bersama psikologis. Rupa-rupanya time-out punya syarat kelayakan untuk diguna. Bukan semua orang layak dan bukan semua masa sesuai.

 

Syarat Mengaplikasi Kaedah Time-Out

1. Pastikan anak BUKAN sedang mengalami ‘meltdown’.

Sangat penting untuk kenal pasti sewaktu anak menangis atau mengamuk mereka sedang tantrum atau meltdown. Ini supaya tindakan yang kita ambil tak menjejaskan perkembangan emosi mereka.
Baca Tantrum vs Meltdown.


2. Ibu bapa perlu melayan anak dengan baik waktu anak berkelakuan baik
.

Bukan hanya mendekati anak bila nak menghukum. Kalau tak, kasihankan anak kita. Sudahlah waktu dia baik mereka tidak dilayan. Bila buat perangai sikit, terus diminta mengadap dinding. Sobs! Saya sendiri kalau begitu dilayan suami, mungkin akan packing baju, merajuk tidur hotel. Haha!

 

3. Time-out bukan medium kita nak tunjuk kuasa.

Ia adalah peluang yang kita tawarkan pada anak untuk tenangkan diri.

Cuba ingat balik, bila kita marah, kan ke susah untuk mulut kita berhenti membebel? Selagi fikiran tak rasional, segala perkataan yang keluar dari mulut serba tak cukup untuk redakan marah.

Sama jadinya dengan anak-anak. Mereka perlukan ruang dan masa untuk bertenang dan kembali rasional. Bila dah rasional, barulah mereka selesa menerima teguran dan nasihat. Kebiasaannya bila anak menangis, pasti ada sedikit calar di hatinya. Kata-kata kita akan jadi pengubatnya.

Bila anak kita mula buat muka kiut ala-ala puss in boots mintak dicium, peluklah anak kedap-kedap, kerana ia petanda syarat dan peraturan telah dipersetujui.

Tapi jangan kerana mereka sudah rasional, kita hamburkan bebelan buat melepas geram dengan sikap anak tadi. Anak dah rasional, rupanya kita belum lagi. Kalau begini gayanya, buat-buat la redho bawa diri mengadap dinding macam anak tadi. Mama/ papa rupanya yang lebih perlukan time out.

 

4. Adil.

Time-out yang adil adalah time-out yang diperingatkan dahulu.
Syarat ini wajib saya gunakan bila ke kedai Mr DIY. Anda pun tahu kan tahap tempting isi kedai tu macam mana. Bukan sahaja tempting kepada anak-anak, tapi juga kepada mak dan bapak. Pantang nampak signboard, anak dah berlari masuk mencari rak letaknya mainan. Diikuti emaknya.

Atas sebab tersebut, ada ketika kami ke DIY, anak-anak kami diperingatkan berulang-ulang bahawa kedatangan pada waktu itu tidak akan membawa pulang sebarang mainan. Waktu itu jugalah iman kami diuji, anak buat muka lebih kiut dari biasa sambil menunjuk-nunjuk mainan yang sebenarnya kami sendiri pon rasa tertarik nak tolong beli.

Tapi mengenangkan sampai berapa tahun lagi drama macam ni nak berlarutan, kami terpaksa menjiwai watak Inspektor Mazlan untuk tegas berkata ‘tidak’.

Episod pertama berkemungkinan akan berakhir bencana. Ketegasan kita mempertahankan peraturan mungkin akan memaksa kita memberi time out untuk anak. Untuk anak yang strong-willed seperti si sulung saya, time-out boleh jadi time-hulk untuk kami berdua. Tapi ketegasan itu akan menjadikan episod di kedai DIY pada hari lain lebih ringkas ceritanya.

 

5. Ikut Formula

Formula ‘matematik’ time out anak mengikut usia adalah begini:
2 tahun 2 minit,
3 tahun 3 minit,
4 tahun 4 minit,
5 tahun dan ke atas 5 minit sahaja.

Umur berapa boleh mula? Bergantung pada kapasiti daya tahan anak dan daya kesabaran mak bapak. Kalau kuat daya masing-masing, usia 18 bulan sudah boleh cuba dengan tempoh 1 minit. Sekiranya anak bertindak keluar dari penjuru sebelum masa habis, mula semula dari awal.

Tapi ada sesetengah kanak-kanak dilaporkan sangat enjoy dengan sesi time-out mereka. Menyanyi-nyanyi, gelak-ketawa, seolah-olah time-out ini satu hiburan buat mereka. Silap-silap mereka akan cari alasan untuk melaluinya lagi.

Sebagai golongan yang hebat mensabotaj, mak ayah digalakkan mengosongkan kawasan time-out supaya ia bebas dari benda-benda yang menyeronokkan. Biarkan tanpa mainan, tanpa tv dan sunyi tahap canggung macam di perpustakaan.

 

6. Tahu fitrah perkembangan anak.

Tanpa pengetahuan yang baik, kemungkinan besar kita boleh tersalah sangka dengan anak. Kita sangka anak mengada bila menangis, rupanya ia adalah fasa seorang bayi yang belum pandai menyatakan keinginan. Kita sangka anak kedekut bila tak sudi berkongsi, sedangkan ia adalah fasa egosentrik anak usia 2 tahun. Kita sangka anak biadab baling-baling barang, sedangkan usia 10 bulan itu memang fasanya untuk memahami kebolehan tangan dan belajar cause & effect.

Fahami fitrah mereka, insya Allah makin kurang sebab kita untuk menghukum mereka.

Ada kajian yang menyangkal keberkesanan time-out ini, tetapi kajian lain menunjukkan kesan yang positif. Pada saya selagi niat dan peraturannya betul, ia kaedah yang lebih patut kita jadikan pilihan berbanding jerit dan pukul.

 

Apa jua hasilnya, pastikan ia mendidik. Kita ibu dan ayah kepada anak-anak kita, hanya kita tau apa yang terbaik.

 

Share This