Kemahiran mengguna deria badan adalah langkah paling asas yang akan membantu anak-anak di dalam penguasaan akademik.

Deria badan yang perlu dikuasai anak-anak adalah seperti di gambar berikut :

Kanak-kanak perlu mahir mengguna tubuhnya sebelum belajar membaca, mengira dan menulis. Ini bermakna, sebelum kanak-kanak bijak akademik, mereka perlu bijak bermain.

Kemahiran mengguna deria badan dapat dikuasai melalui proses bermain. Ya, bermain adalah pekerjaan mereka. Seharusnya mereka tidak dihalang dari bermain kerana ia adalah sebahagian dari fitrah anak-anak. Bermain amat baik untuk membantu membina kefungsian badan, meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi, menguasai kemahiran motor halus dan kasar dan kemahiran mengurus diri.

Penyebab lain mengapa kanak-kanak perlu main bagi meransang deria (sensori) mereka:
1. Kajian membuktikan permainan yang melibatkan deria (sensory play) akan membantu di dalam membina beberapa bahagian otaknya terutama terutamanya yang mengawal bahagian anxiety.

2. Membantu dalam menguasai kemahiran pra-akademik seperti memberi tumpuan, menerima arahan, mengenali bentuk asas (penting untuk bantu kenal huruf), mengguna tangan dalam aktiviti menulis dan menggunting, dan sebagainya.

3. ‘Sensory play’  menyokong pembinaan bahasa, kognitif, motor halus dan motor kasar, kemahiran menyelesaikan masalah serta interaksi sosial.

4. Membantu meningkatkan memori.

5. Meningkatkan kemahiran mengawal emosi dan daya fokus. Kemahiran ini menjadikan anak lebih tenang dan penyabar.

6. Kanak-kanak belajar sifat-sifat objek seterusnya belajar mengendalikannya.

7. Mengelakkan kanak-kanak mengalami kecelaruan/ masalah sensori yang dipanggil Sensory Processing Disorder (SPD).

Sensory Processing Disorder (SPD) berlaku disebabkan otak tidak dapat memproses input yang diterima oleh deria. Input yang sampai ke otak berkemungkinan diproses secara berlebihan (hypersensitive), atau tidak sampai (hyposensitive).

Kebanyakan anak dengan masalah kecelaruan seperti autism, ADHD, ADD, syndrome down dan sebagainya mempunyai masalah sensori ini. Bagaimanapun, ia turut berlaku kepada anak-anak tipikal yang kurang/ terlebih ransangan.

Masalah ini boleh dibantu dengan memberi ransangan yang secukupnya kepada deria-deria badan.
(Pastikan perhatian penuh diberikan kepada anak yang masih suka memasukkan objek ke dalam mulut)


Contoh Masalah SPD dan Aktiviti Ransangan Deria :

1. DERIA VISUAL (PENGLIHATAN).

Deria ini amat penting dalam membantu dalam penumpuan. Penggunaan gajet dan pendedahan televisyen yang berlebihan adalah punca utama yang menyumbang kepada masalah ransangan deria visual berlebihan yang menyebabkan masalah SPD.

Antara tanda-tanda SPD deria visual:

  • Sensitif terhadap cahaya (rasa silau)
  • Mudah terganggu bila ada pergerakan, hiasan, mainan, dan warna car dinding yang terang
  • Mata penat atau sakit kepala selepas membaca/ menonton tv/ telefon
  • Sukar membezakan huruf, atau gambar yang serupa, sbgai contoh p&b, b&d, + dan x, segiempat sama dan segi empat tepat.
  • Sukar membezakan warna, bentuk, dan saiz.
  • Mengalami kesukaran bila nak menyalin nota dari buku atau papan putih.
  • Sukar untuk mengawal pergerakan mata untuk melihat objek yang bergerak.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Pandang mata anak bila bercakap.
  • Tangkap bubble
  • Galakkan anak kecik merangkak walaupun sudah boleh berjalan (merangkak juga menguatkan limbik sistem yang mengawal emosi dan memori)
  • Lambakkan objek yang sama dengan warna berbeza dan minta anak asingkan (gelang getah, pom pom ball, batang ais krim berwarna, manik dan lain-lain)
  • Keluar ke taman dan kenalkan dengan objek-objek semulajadi di taman
  • Main tangkap cahaya lampu laser/ torchlight di dalam gelap
    .

2. DERIA AUDITORI (PENDENGARAN)

Terlalu banyak ransangan bunyi dari gadget juga boleh menyebabkan masalah sensori (SPD).

Antara tanda-tanda SPD deria auditori:

  • lambat memberi respon bila nama dipanggil
  • suka muzik/ TV yang terlalu kuat
  • tidak sedar bunyi tertentu
    Atau;
  • Terganggu dengan bunyi yang kurang disedari oleh orang lain; contohnya bunyi kipas, peti ais, atau jam berdetik.
  • takut dengan bunyi flush tandas, vakum, anjing menyalak dan sebagainya.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Perdengarkan dan lazimi telinga anak dengan bacaan zikir dan ayat al-Quran
  • Bercerita
  • Mainan memberi arahan (banyak mainan Montessori dan kraf boleh membantu)
  • Gunakan kad gambar untuk diteka oleh anak (teka bunyi, teka objek dsb)
  • Minta anak ulang perkataan yang kita sebut

.

3. DERIA GUSTATORI (RASA)

Deria ini berkait rapat dengan perkembangan oral motor serta membantu pertuturan anak.

Antara tanda-tanda SPD Gustatori

  • Suka memasukkan objek ke dalam mulut
  • menghisap, menjilat, atau mengunyah objek seperti baju, wayar, jari, rambut dan sebagainya
  • suka makanan dengan rasa kuat; iaitu berlebihan pedas, manis, masam, atau masin
  •  ‘Drooling’ yang berlebihan melepasi fasa ‘teething
    Atau;
  • Picky eater
  • mempunyai kesukaran untuk menghisap, mengunyah, dan menelan; boleh tersedak atau takut tersedak
  • Suka (hyposensitive)/ tidak suka (hypersensitive) menggosok gigi

 

Antara aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Merasa makanan pelbagai rasa (masam seperti lemon, manis seperti madu, pedas dan sebagainya)
  • Memperkenalkan anak dengan makanan pelbagai tekstur (rangup seperti cereal, kacang dan kerepek, keras seperti lobak dan epal, liat seperti batang salary dan daging)
  • Buat aktiviti meniup seperti tiup watercolor, tiup bubble, tiup wisel, tiup pom pom ball guna straw, tiup tangan anak kemudian suruh anak tiup tangan dia balik dan sebagainya

.

4. DERIA OLFAKTORI (BAU)

Deria ini berkait rapat dengan deria rasa

Antara tanda-tanda SPD Olfaktori

  • berisiko minum atau makan benda beracun kerana mereka tidak dapat mengesan bau yang berbahaya
  • tidak sedar ada bau yang tidak menyenangkan walaupun dapat dibau oleh orang lain
    Atau;
  • bila diperkenalkan kepada objek, orang, atau tempat, anak cuba mencium bersungguh-sungguh
  • Terganggu dengan bau yang kurang disedari oleh orang lain
  • enggan makan makanan tertentu kerana bau

Antara aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Meneka bau (teka bau bunga, bau rempah, bau makanan, sabun, essential oil dsb)

.

5. DERIA TACTILE (SENTUHAN)

Deria ini kepentingan dia sangat besar untuk distimulasi kerana ia berkaitan dengan motor sensori yang lain.

Kekurangan ransangan terhadap deria ni boleh menyebabkan anak mengalami masalah sensori yang menyumbang kepada masalah menulis bila bersekolah, dan masalah bila melakukan pelbagai tugas disebabkan otot jari, tangan dan bahu yang lemah.

Aktiviti untuk deria ini membuatkan ibu-ibu pening kepala sebab rumah akan bersepah-sesepah-sepahnya.

Antara tanda-tanda SPD Tactile

  • Suka menyentuh hampir semua benda termasuk orang.
  • menghempaskan badan ke lantai, hantuk kepala atau mencederakan diri untuk mendapatkan ‘rasa’ dan kepuasan deria sentuhan
  • tidak menyedari bila disentuh, dan kurang rasa sakit bila cedera
  • kerap menyakiti kanak-kanak lain semasa bermain kerana dia tidak tahu orang lain sakit
    Atau;
  • tak selesa dengan sentuhan atau berada berdekatan dengan orang lain
  • tak selesa bila rambut disikat, terganggu dengan tekstur cadar yang kasar, terganggu dengan tag di belakang baju
  • lap pipi apabila dicium
  • Takut memakai kasut
  • enggan menggunakan tangan bila bermain, apatah lagi ‘messy play’
  • memilih pakaian tertentu untuk dipakai
  • suka pakai seluar panjang dan berstokin sebab tak nak objek lain bersentuhan dengan permukaan kulit
  • geli berjalan tanpa alas kaki di atas rumput atau pasir atau geli duduk di tempat duduk tertentu

Antara aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Messy play; main tanah, main air, main ais, main water color, main tepung, main spagheti, plastesin, koyak kertas dsb
  • Urutan badan, brushing (willbager technique) & joint compression (boleh refer youtube)
  • Pijak tanah, pijak rumput, pijak puddle
  • Main sensory ball, atau buatkan sensory board dan sebagainya

.

6. DERIA VESTIBULAR (KESEIMBANGAN)

Deria keseimbangan atau vestibular adalah deria yang membantu kita untuk berjalan, berlari, naik basikal dan buat pelbagai aktiviti tanpa jatuh. Ia berkait rapat dengan endolymph atau cecair di dalam bahagian telinga yang membantu mengawal keseimbangan badan.

Antara tanda-tanda SPD Vestibular

  • tidak boleh duduk diam. Contoh, bila dipaksa duduk diam, kakinya menggoncang.
  • suka sesuatu yang laju dan berbahaya mencari kepuasan)
  • sentiasa melompat pada perabot, trampolin, berputar di kerusi berpusing, atau apa jua perlakuan yang terlampau aktif
    Atau;
  • menghindari / tidak suka peralatan permainan kanak-kanak termasuk buaian, tangga, gelongsor, dsb.
  • terlalu berhati-hati sehingga kelihatan penakut’
  • takut ketinggian, gayat turun tangga atau jalan di atas permukaan tak rata
  • takut menunggang basikal, melompat, melompat, atau menjengket.
  • mudah mabuk di dalam kereta

Antara aktiviti yang boleh dilakukan:


  • Melompat sama ada atas trampolin (dengan aktiviti bersepadu yang lain)
  • Roll over
  • Meniru gerakan haiwan berjalan (penguin, walrus, harimau, katak, kangaroo, crab walk)
  • Memanjat (grille pintu, rock climbing, playground, playgym)
  • Berjalan di atas balance beam atau atas garis lurus (boleh buat guna masking tape)
  • Menolak guna tangan (tolak tangan mama, tolak dinding, tolak kotak, sofa dan apa je objek berat)
  • Wheelbarrow (boleh bermula dengan bantuan kerusi dan buat aktiviti setempat seperti menyusun blok)
  • Bermain di taman permainan.
  • Ibu bapa juga digalakkan untuk menyediakan satu ruang ‘vestibular’ di rumah. Antara peralatan yang boleh dimasukkan adalah wall climbing rock, monkey bars, tali tangga, trampolin dsb.

.

7. DERIA PROPRIOCEPTIVE (SENDI

Deria sendi atau deria proprioseptif adalah deria yang bantu kita untuk mengagak berapa banyak daya yang perlu anggota badan kita gunakan untuk buat sesuatu. Ia termasuk mengagak berapa banyak tenaga yang perlu diguna untuk pegang telur tanpa telur tu pecah, mengagak berapa banyak tenaga nak pakai untuk menulis tanpa kertas koyak atau tulisan tak jelas, naik tangga tanpa mata perlu melihat kaki atau mencari barang dalam beg tangan tanpa tengok ke dalam beg.

Antara tanda-tanda SPD Proprioceptive

  • Kerap merosakkan barang (sebab tak dapat agak berapa banyak tenaga/ daya yang perlu dikenakan untuk pegang barang dengan baik),
  • selalu terlanggar barang,
  • selalu tertumpah air ketika menuang,
  • kerap berlanggar dengan objek
  • suka permainan “kasar” seperti gusti
  • kerap jatuh ke lantai secara sengaja
  • suka dibungkus rapat dengan selimut yang banyak atau berat, terutama pada waktu tidur
  • melompat pada trampolin selama berjam-jam
  • selalu lebam (tapi tak perasan) kerana kerap terlanggar atau menolak kanak-kanak lain
  • tak faham dengan konsep luas dan jarak.
  • mengalami kesukaran dengan aktiviti memanjat
  • Menulis dengan menekan pensil terlalu kuat atau terlalu perlahan. Aktiviti menulis tak kemas dan selalu terkoyak kertas bila padam
  • sering tak sengaja merosakkan mainan dan menyakitkan haiwan (bila pegang)
  • tak dapat membezakan objek paling yang ringan dan berat bila pegang dengan kedua-dua tangan
  • selalu terhempas pintu, meletakkan barang dengan kuat secara tak sengaja, dan tertekan benda dengan kuat secara tak sengaja

Antara aktiviti yang boleh dilakukan:

  • Melempar atau menendang bola ke target
  • Menyambut bola
  • Menuang air ke dalam bekas
  • Memindahkan objek menggunakan penyepit ke bekas lain
  • Bermain di taman permainan.
  • Terapi solat
  • Melakukan pelbagai aktiviti aktif

.
Segala aktiviti yang dicadangkan turut membantu di dalam meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi, meransang pertuturan, meningkatkan penguasaan bahasa, meningkatkan daya fokus serta membantu menyudahkan proses refleks.

Tidak ada salahnya untuk membantu anak menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, tetapi perlu dipastikan deria badan distimulasi dengan baik dan tidak ada tanda-tanda SPD yang masih belum diselesaikan. Kemahiran ini akan membantu menguasai tidak sahaja akademik, tetapi juga pengurusan diri anak-anak.

Sekiranya kita mendapati anak mempunyai tanda-tanda seperti mana di atas, dapatkan konsultasi daripada pediatrik atau rawatan intervensi dari Terapis Carakerja.

Share This