Pernah tak anak menangis meratapi benda yang tidak logik untuk diterima akal kita?

Contohnya, menangis sebab tak boleh panjat dinding macam Spiderman, menangis sebab Upin Ipin kat TV dah habis, menangis sebab tak nampak bulan di waktu siang atau menangis sebab nak air Coway macam kat rumah waktu berjalan dalam mall.

Anak siapa macam ni?

Oh, anak saya pun begini. Menangis kerana perkara tidak penting adalah normal bagi kanak-kanak bawah usia 3 tahun, malah ia adalah tanda-tanda perkembangan emosi yang baik.

Walaupun begitu, bila berdepan dengan situasi macam ni, kita sebagai ibu ayah rasa nak je benam kepala sendiri ke dalam dinding, kan!

Tenang ibu… ayah.

Tak perlu buang masa jelaskan hukum Fizik, mahupun hukum Tajwid kepada anak. Walaupun penyebab nangisnya amat merepek untuk kita terima, tapi bagi anak ianya sangat penting dan logik.

Itulah anak.

Usia 3 tahun pertama OTAK KANAN mereka amat dominan berfungsi. Menjadikan sifat egosentrik, tantrum dan emosional mereka tidak kenal erti logik dan peraturan. Otak kanan merupakan “otak perasaan”, atau “otak emosi”. Ia diterjemahkan oleh anak melalui ekspresi wajah, gesture tubuh dan nada suara.

Bila masuk usia 4 tahun, OTAK KIRInya mula aktif, menjadikan kita pening melayan setiap pertanyaan ‘”how, when, how & where” nya.

Kebanjiran Emosi & Kegersangan Emosi.

Sebelum anak mula mengguna otak kirinya untuk fikir LOGIK & LITERAL, anak terlebih dahulu mengguna otak kanan untuk melalui fasa “kebanjiran emosi”.

Pada waktu ini, anak akan sensitif dan mudah tantrum.

“Abang-rasa-nak-mati bila-mama-pergi-mandi-tinggalkan-abang”-kinda emotion.

Masuk gear 2 penggunaan otak kanan, mereka akan melalui fasa “kegersangan emosi”, dimana anak belajar untuk MERAJUK dan menafikan perasaan sebenar.

Suami-suami pernah pujuk isteri yang sedang merajuk? Bila mereka cuba didakap kita, tangan kita pula ditepis. “Eh eh eh ehh… taknak dipujuk sudah!” kata si suami sedangkan isteri sangat mahu dipujuk, tetapi sakit hati menguasai. Keh keh keh.

Begitulah contoh anak yang masuk fasa kedua kebanjiran emosi. Nak, tapi buat-buat tak sudi. Isteri yang begitu, Allah kurniakan emosi keanak-anakan mungkin untuk lebih mudah jiwanya memahami jiwa anak-anak. Ehem.

Masalah 2 keadaan emosi yang ekstrim ini (banjir dan gersang) boleh diatasi dengan membantu anak MENGGABUNGKAN penggunaan otak kanan dengan otak kiri.

“Eh teknikalnya!…”

Taklah. Simple je.

Cuma nak bagitau kesannya secara saintifik ke atas otak anak.

Pada kali ni, saya kongsikan salah satu teknik kajian Dr Daniel Siegal, iaitu teknik “CONNECT & REDIRECT”.

“Connect” bermaksud, kita cuba sambungkan otak kanan kita dengan otak kanan anak. “Redirect” bermaksud, kita peringatkan semula anak dengan peraturan sebaikm sahaja anak mulai rasional.

Sama macam konsep ‘SETUJU DAHULU BARU BANGKANG’ dalam ebook parenting Taufiq Razif.

Setuju Dahulu Baru Bangkang

Teknik ini bukan untuk biarkan anak manipulasi kita atau biarkan anak hilang hormat pada kita. Tetapi ia adalah teknik yang bersesuaian dengan fitrah dan cara otak anak bekerja.

1) Kita takkan mampu mendesak anak menggunakan logik akal waktu mereka hilang rasional. Semakin kita suruh mereka berhenti menangis, semakin teruk monster dalam emosinya mengganas.

2) Ingat bagaimana kita ibu bapa hilang kewarasan waktu marah, bagaimana mulut kita menuturkan kata-kata yang kita sendiri tak maksudkan dan betapa sukar kita nak terima nasihat orang. Yelah! Kepala tengah serabut, kan.

Begitu juga anak. Emosi mereka perlu dijinakkan dahulu.

3) Untuk mengaplikasi teknik ini, syaratnya amat ketat, iaitu ibu dan ayah perlu bersabar. Perlu kekal dalam mood waras. Jika otak kita waras, motif kita akan lebih jelas. Silap-silap boleh imbas otak anak. Gelombang waras dalam otak kita perlu “connect” dengan otak kanan anak. Perlahan-lahan macam kita masukkan kabel USB pada computer.

Contoh situasi;

Otak kanan anak membuat dia bercakap seperti ini;

“Ammar taknak kawan, sebab mama tak bagi Ammar beli aiskrim”

Pada fasa CONNECT, otak kanan ibu bapa perlu bekerja memanipulasi perasaan dia dengan menyatakan apa yang sebenarnya dia rasa:

“Waah! Marah betul Ammar dengan mama! Marah sungguh ni! Macam besar ni marah dia.”

… kata saya sambil mendepakan tangan.

4) Bila anak sudah mula rasa diri difahami, dan mood dia semakin pulih, dapatkan senyuman daripadanya. Senyuman akan membantu membebebaskan endorphin ke otak, menjadi otak kita semakin jelas berfikir. Bila otak mula jelas dan rasional, masuk gear kedua iaitu fasa REDIRECT.

Fasa ini untuk kita pertahankan peraturan yang telah kita tetapkan.

“Mama faham Ammar nak aiskrim. Mama pun teringin nak makan ais krim. Tapi bukan hari ni. Hari ni Ammar dengan mama dah makan 3 biji gula-gula. Bahaya kalau makan ais krim pulak. Membiak-biak bakteria dalam mulut kita nanti. Mama taknak gigi mama dan gigi Ammar rosak kena makan dengan bakteria.”

5) Ya, saya sendiri tak sangka anak lebih mudah ikut peraturan bila dia rasa dirinya difahami. RASA DIFAHAMI akan mencetuskan aktiviti otak kirinya untuk menerima logik dan sebab ‘kenapa mama tak bagi makan aiskrim hari ni.

6) Sewaktu fasa CONNECT, gunakan ekspresi wajah yang simpati, nada suara yang lembut. Sebaliknya di fasa REDIRECT, tegaskan sedikit nada suara dan pandang mata anak sama aras dengan mata kita.

7. Walau bagaimanapun, apabila anak bertindak kasar (inappropriate bahavior) seperti meludah, memukul dan menendang), asingkan anak dengan persekitaran tersebut.

Kalau ada di kawasan awam seperti pusat membeli-belah, angkat dia bawa balik, tarik reward (jika kita ada buat sistem reward di rumah) dan asingkan mereka di satu sudut, sampai emosinya menunjukkan tanda-tanda mau reda. Kemudian baru boleh mula kembali ke fasa connect-redirect.

8. Its ok mommies, if you feel down when your kid shows his inappropriate behavior & you fail to tame the ‘monster inside them’.

9. Tapi insya Allah ia boleh dikurangkan dengan doa, jaga percakapan sebagai ibu, titipkan surah al-Insyirah dan tiup ke ubun anak-anak dengan niat Allah lembutkan hati anak.

10. Sekiranya kita belum perkenalkan anak dengan sistem reward atau star chart, mungkin inilah masa yang sesuai untuk kita perkenalkan.

Share This