Semalam saya ikut suami bawak abah makan di kedai. Macam biasa, anak-anak ikut sekali. Bila anak yang dibawa tak cukup tidur dan sedang kelaparan, dramanya lain sikit. Lebih dramatic.

Drama pertama berlaku bila anak berebut-rebut bandung laici yang ada dalam buku menu restoran. Adeh, gambar je pun.

“Nah, mama kerat, satu bagi Ammar, satu bagi Aqlan!” kata saya sambil buat-buat potong gambar guna tangan. Anak-anak ketawa. Selesai drama pertama.

Drama kedua berlaku bila bandung laici yang sampai ke meja ada satu gelas je. Alhamdulillah dapat ditangani dengan baik bila dua-dua setuju untuk berkongsi. Sayangnya buah laici dalam tu ada 3 je.

Saat laici ketiga masuk dengan bahagia ke mulut abang, drama sebenar pun bermula.

Aqlan mengamuk sakan. Meja kami bergegar ditendang Aqlan yang berusia 3 tahun. Berderai amukan Aqlan. Jeritannya ‘memanggil’ pelanggan lain untuk turut sama menonton.

Allahu… Malu beb!

Sebelum abah sakit dada tengok kelaku anak, saya bawa Aqlan keluar dan pujuk berbincang elok-elok di tempat parking.

Saya peluk dia, dia luahkan perasaan, puji-puji sikit, Alhamdulillah 3 minit Aqlan kembali masuk kedai dengan senyuman manisnya.

Saya lebih lega kalau yang mengamuk tu Aqlan. Tenaga moodnya tak sekuat Ammar. Ammar bila marah atau merajuk, susah sikit nak dipujuk.

Kami akan menanggung siksanya melihat dia memandang dengan penuh intense atau bercakap dengan nada geram. Kalau dibiar, tau-tau ada barang yang melayang.

Ammar dengan Aqlan, tahap intensity mereka ketara berbeza.

‘Intensiti’ bermaksud, banyak mana TENAGA yang anak gunakan untuk MENUNJUKKAN EMOSInya.

Tahap intensiti kanak-kanak boleh kita lihat dari cara dia respon persekitaran. Tahap intensity yang berbeza inilah yang menjadikan setiap kanak-kanak unik. Yang menjadikan anak ada tingkah laku yang berbeza.

Sebab itu, tingkah laku kanak-kanak tidak semestinya dipengaruhi oleh kualiti didikan ibu dan ayah. Jangan cepat menjuri mak ayah bila lihat anak-anak punya perangai ya.

 

Kanak-kanak High Intensity tinggi 📈 VS
Kanak-kanak Low Intensity 📉

1. Intensiti terhadap aktiviti:
📉 Terlalu ‘baik’, sampai mampu duduk diam lama-lama tanpa rasa nak bergerak
📈 Sentiasa mahu bergerak dan sukar duduk diam

2. Intensiti terhadap jadual:
📉 Menerima jadual rutin seperti tidur dan makan dengan baik.
📈 Corak pemakanan dan tidur yang susah dijangka

3. Fleksibel dan kemampuan beradaptasi
📉 Mudah adaptasi diri terhadap perubahan
📈 Memerlukan persiapan sebelum buat sesuatu perubahan

4. Intensiti terhadap sosial:
📉 Mudah ‘masuk’ dengan situasi yang baru
📈 ‘Berwaspada’ dengan situasi baru (contoh, bila masuk sekolah baru)
|
5. Intensiti terhadap sensitiviti
📉 Tak hiraukan bunyi bising atau suasana yang sibuk
📈 Sensitif dengan bunyi, bau, tekstur dan rasa sampai mudah rasa terganggu.

6. Ekspres emosi
📉 Tak menunjukkan emosi yang jelas
📈 Bila sedih, dia mengangis bersungguh. Bila gembira, dia gembira sungguh-sungguh. Untuk bayi, mereka mudah ‘overstimulated’ dan mudah meragam.

7. Mood
📉 Mudah dilihat tenang
📈 Mudah dilihat marah, kecewa dan bad mood

8. Keupayaan untuk ofkus
📉 Mudah fokus, tetapi sukar ditenteramkan bila upset
📈 Mudah terganggu tetapi mudah juga ditarik untuk kembali fokus.

Pun begitu, penjelasan pakar dari setiap bidang lain-lain. Mereka melihat kanak-kanak dengan lebih dalam dan terperinci. Ilmu ini sekadar ‘surface’ supaya kita raikan perbezaan setiap anak-anak.

Mana yang bagus? High Intensity ke Low Intensity?

Jawapannya, yang di tengah-tengah itulah paling bagus. Tak rendah sangat. Tak tinggi sangat. Tak ekstrim. ‘Yang sedang-sedang’ saja bak kata penyanyi Iwan.

Pun begitu, bukan bermakna yang ekstrim tu tak bagus. Cuma mereka perlu sedikit perhatian.

Bagaimana Nak Bantu Anak Yang INTENSITI TINGGI.📈

Mak ayah yang ada anak emosi bertenaga tinggi ni selalu rasa down. Bila jumpa makcik bawang, anak kita digelarnya ‘keras kepala’.

Mana taknya. Bila anak kita marah, habis dibaling segala benda. Walaupun waktu tu sedang meriah berkenduri-kendara.

Kalau gembira pulak, dia punya sorak macam tak ingat dunia. Bila kecewa, sampai lemah semangat mak ayah nak memujuknya.

Tapi sebagai ibu ayah, apa yang boleh kita bantu?

1. Bantu mereka menamakan perasaan yang dirasa.
Contoh : “Abang rasa SEDIH sebab toy tercabut ke?” “Abang macam FRUST je ni.”

Antara sebab anak ‘meltdown’ adalah kerana mereka tak faham apa perasaan yang buat badan mereka tak best ni. Bila kita bantu fahamkan, anak dah tak perlu terjerit-jerit setiap kali nak bagitahu mak ayah yang emosi mereka sedang terganggu.

2. Tarik nafas.
Bila kita marah atau cemas, jantung kita akan berdegup laju. Jadi, ajarkan anak untuk tarik nafas dan hembus perlahan-lahan, supaya kembali tenang. Mak ayah yang pun boleh guna teknik ni kalau mula rasa geram dengan anak.

3. Bergerak aktif.
Dengan kerap bergerak aktif. anak-anak dapat salurkan tenaga mereka dengan baik. Malah pergerakan fizikal khusus dalam terapi, membantu menyelesaikan masalah kawalan emosi anak.

4. Ekspresi 
Ajarkan mereka mengekspresikan emosi melalui tulisan atau lukisan.

5. Bermain bersama.
Bila kita luangkan waktu dan tenaga bermain bersama anak, mereka berpeluang belajar berkomunikasi. Kuranglah rasa canggung mereka untuk bermain dengan rakan. Malah mereka belajar konsep giliran, berkongsi dan bersabar.

6. Peluk anak.
Waktu anak meltdown, percayalah… bebelan, nasihat dan motivasi hanya sia-sia. Otak mereka berada pada state tak rasional. Sama juga macam kita bila tengah marah.

Kita boleh usahakan mereka untuk bertenang dengan memeluk. Buat mereka rasa selamat dan dipercayai. Cuma syaratnya, kita kenalah bertenang dulu. Bila kita bertenang, kita akan beri vibration yang baik untuk rendahkan mood mengamuk anak.

7. Beri masa.
Kalau kita rasa tak mampu nak hadap amuk mereka, beri masa untuk anak reda. Try to ignore each other. Teknik ni saya namakan teknik buat bodoh. Anda perlu mampu untuk buat bodoh dengan kelaku anak.

Bagaimanapun, sebelum buat bodoh tu, kena bagi tahu kat anak,
“Mama tengok adik macam susah nak berhenti nangis ni. Adik macam sedih lagi. Mama bagi adik masa bertenang ok.”

Kemudian tinggalkan mereka sehingga mereka bertenang sendiri.

8. Jumpa pakar.
Sekiranya kerap sangat sehingga mengganggu rutin dan perkembangan harian, bawalah anak berjumpa pakar.

Dari kaca mata psikologis, paed & terapis, anak-anak sebegini perlu dinilai untuk lihat kemungkinan ada masalah sensori, ADHD, autism atau apa saja yang berkait dengan tingkah laku.
.

Bagaimana Nak Bantu Anak Yang  INTENSITY RENDAH 📉

Anak jenis ni pula dilihat seperti pendiam dan kurang semangat.
Raut wajah dia waktu marah atau waktu terima hadiah idaman lebih kurang aje.
Susah nak tau apa sebenarnya yang dia rasa. Orang yang menanti respon dia yang akhirnya ketawa sambil garu kepala.

Risiko anak ‘baik’ macam ni, mereka jarang dapat perhatian, sebab terlalu baik. Bila jarang dapat perhatian, mereka cenderung mengalami masalah komunikasi dan pertuturan.

1. Ajar mereka tentang ekspresi emosi marah, sedih, kecewa, gembira dan sebagainya.

2. Pandang mata ketika bercakap dengan mereka. Galakkan mereka bercerita tentang aktiviti harian.

3. Bila bercakap dengan mereka, cuba gunakan intonasi dan mimik muka yang berlebih-lebihan.

4. Cari aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama supaya mereka belajar bagaimana nak ‘spark’ kan tenaga.

5. Ajar mereka untuk berterima kasih bila dapat sesuatu, meminta maaf, meminta tolong dan berkata tidak kepada benda yang tidak disukai.

6. Sekiranya berlarutan, buat saringan dengan pakar-pakar untuk ketahui sebab yang kita tak nampak di mata kasar.

 

Kesimpulannya:

– Setiap anak berbeza. Baik dari segi personaliti, perkembangan mahupun kapasiti mereka mengendali emosi.

– Banyakkan memuji dan beri perhatian lebih buat anak-anak kategori ekstrim ini.

– Sebagai ibu yang ada anak yang tinggi tenaga emosinya, saya faham sangat kesukaran nak kendali anak yang sebegini.
Sabar kena tebal, empati kena tinggi, mulut dan tangan kena jaga. Jangan sampai melayang sesuka hati.

Elak melabel anak sebagai degil, jahat dan susah. Sebaliknya lihat mereka sebagai bersemangat dan ada keazaman yang tinggi.
Pandang mereka sebagai bakal pemimpin yang berwibawa, usahawan yang berjaya atau artis yang terkemuka

– Jumpalah pakar sekiranya ia berlarutan

– Jadi orang pertama yang beri sokongan dan orang terakhir yang give up kat anak-anak.

Share This