Sama ada anak tipikal atau anak autistik, mereka perlu dibantu apabila mereka menunjukkan respon mengamuk. Namun, sebelum mengendali amukan mereka, kenal pasti dahulu sama ada apa yang anak-anak lalui adalah tantrum atau meltdown?

Dulu saya pernah tanya seorang Psikologis, “Ada pakar yang menyarankan untuk calm down kan anak yang sedang tantrum, ada pula berpendapat ‘biarkan sahaja’. Sebenarnya, tindakan yang mana satu yang betul?”

Jawapan yang saya dapat meninggalkan rasa tidak puas di hati saya. Sehinggalah saya membaca sendiri buku tulisan Aiman Amri yang bertajuk Autism : Unik atau Pelik.

Rupanya, jawapan yang diberikan memang tak salah. Cuma saya yang salah soalan bertanya. Soalan yang sepatutnya adalah, ‘apa nak buat kalau anak TANTRUM? Bagaimana pula kalau anak MELTDOWN?‘.

Ya. Tantrum dan meltdown adalah 2 perkara yang berbeza. Dari luaran, tindakan anak nampak sama sahaja. Iaitu anak mengamuk berguling-guling di lantai. Atau menjerit sehingga hampir terkeluar anak tekak. Tangisnya pula tak berhenti ibarat buntut kena libas.

Dalam buku Autism: Pelik atau Unik, kaedah mengendali anak tantrum dan meltdown adalah khas untuk anak autism. Namun begitu ia memberi sedikit sebanyak gambaran bahawa mengendalikan antara keduanya adalah dengan cara yang berbeza.

Apa beza tantrum & meltdown?

Tantrum & meltdown lebih kerap untuk anak di antara usia 2 tahun. Bagaimanapun akan perlahan-lahan berkurangan mengikut kematangan mereka mengendali emosi. Berbanding anak yang autisma, tantrum & meltdownnya lebih kerap. Dan fasanya lebih lama. Ada yang masih tantrum walaupun sudah menjangkau 5 tahun malah ada yang sampai belasan tahun (mengikut spektrum).

Ini adalah kerana, keupayaan otak anak autistik untuk mengendali emosi agak terhad. Iyalah! Otak mereka bekerja luar dari kebiasaan otak kanak-kanak tipikal.
.

Tantrum.

Tantrum terdiri dari 2 jenis, iaitu tantrum dalaman dan tantrum luaran.

Kalau anak dilihat menjauhkan diri, sambil wajah mencuka dan mata menjeling, ini tandanya anak sedang mengalami tantrum dalaman. Dalam bahasa yang lebih mudah difahami, merajuk.

Berbeza dengan tantrum luaran, kita akan lihat perbuatan fizikalnya seperti menangis & menjerit. Kadang-kadang boleh sampai ke tahap memukul, menendang dan mencederakan diri.

Penyebab tantrum kebiasaannya adalah kerana anak mahu mengawal/ mendominasi keadaan. Anak-anak akan menangis/ menjerit untuk menimbulkan rasa takut kepada ibu dan ayah. Seterusnya menyebabkan ibu dan ayah mengalah dan memberi objek yang dikehendaki. Mereka tahu itulah senjata yang boleh dia pakai untuk menang.

Selalunya untuk dapatkan benda-benda yang mak ayah berkeras untuk bagi. Mainan, gula-gula, telefon dan sebagainya. Ada juga tantrum atas sebab protes tidak mahu buat perkara yang disuruh.

Dalam hal ini, sangat penting ibu bapa tidak mengalah dan kekal bertegas.

Meltdown.

Lain pula dengan meltdown. Anak kebiasaannya hilang kawalan terhadap diri sendiri. Mereka belum memahami ke-tak-sedap-an perasaan yang mereka rasa. Jadi ia diluah dengan cara yang tak menyenangkan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu bertenang. Mereka bukan mengada. Bukan juga sebab mak ayah tidak pandai mendidik.

Semasa meltdown, anak autistik ini sendiri ‘menderita’ menanggung kecelaruan neurologikal yang dialami. Jika dibanding kita yang memiliki otak yang berupaya menapis input hasil stimulasi yang masuk ke otak, tetapi, bagi anak autism, deria badan mereka sangat sensitif.

Bila deria mereka terlebih mendapat stimulasi sehingga mencapai batasan/ had yang mampu untuk mereka terima, mereka hilang kawalan dan ‘meletup’.

Tidak hairanlah ibu dan ayah anak autistik selalu mengecualikan kenduri, pasar dan mall untuk bawa anak berjalan. Bunyi hingar, pencahayaan dan objek di sekitar boleh jadi punca stimulasi yang keterlaluan untuk diterima otak mereka.


Rajah : Cara Mendepani Tantrum dan Meltdown Anak Autistik
(Rujukan : Autism Pelik Atau Unik)


Rajah : Menangani Tantrum & Meltdown Untuk Anak Tipikal.
Artikel berkaitan di sini atau di sini.

Kesimpulannya, sebelum kita bertindak membantu anak yang sedang mengamuk, kenal pasti dahulu, adakah anak sedang mengalami tantrum atau meltdown.
.

Jujur saya katakan. Saya malu. Saya segan dengan mak ayah yang ada anak autistik. Mereka sangat kuat dan sabar. Kalau kita rasa kita sudah banyak bekorban kerana anak, mereka apatah lagi. Kalau kita rasa tak boleh pergi panggung waktu anak kecil, mereka mungkin mengecualikan tempat tersebut walaupun sehingga anak sudah dewasa. Jika kita rasa susah nak melayani kerenah anak-anak kita, mereka yang mendepani anak berfikiran unik ni apatah lagi.

Pun begitu, memiliki anak autistik tidaklah sesuatu yang begitu teruk, lebih-lebih lagi jika ramai yang memahami. Gaya fikir mereka mungkin menjadikan mereka tidak sama seperti anak yang lain, tapi ia boleh jadi kelebihan dalam beberapa aspek.

Ada di antara mereka yang high function. Memiliki kebolehan luar biasa dalam beberapa aspek seperti pandai melukis, bijak muzik, hebat matematik malah ada punya keupayaan menganalisis fungsi mekanikal sesuatu mesin dan apa yang tak kena dalam badan seseorang yang sakit.

Jom Cakna Autisma.
Kurangkan menjuri, lebihkan sokongan.

 

Share This