“Sorry mama!! Ammar marah sangat ni!”
 
Kata Ammar dengan suara yang ditekan. Giginya diketap. Matanya berkerut. Tangannya digenggam keras.
 
Marah sangat nampaknya dia. Nasib baiklah kami bukan keturunan Hulk. Kalau tak, tinggi juga potensi untuk Ammar bertukar jadi hijau.
 
“Boleh Ammar lukis kat mama, Ammar punya marah tu macam mana?”
Kata saya sambil serah krayon warna hitam kat dia.
 
“Ammar tak nak ni! Ammar nak warna merah!”
Kata Ammar lantas menarik kasar krayon berwarna merah dari bekasnya.
 
Sambil lukis, saya nampak geramnya makin reda. Sesekali dia tersenyum. Kemudian betulkan muka geramnya. Lucu agaknya lihat hasil lukisan sendiri.
 
“Tengok ni mama. Ammar pangkah love tu! Ammar tak boleh nak sayang orang sebab Ammar tengah marah sangat.”
Kata Ammar sambil menyilangkan tangan sebagai tanda dia sedang ‘against love’ konon-kononnya.
 
Amboi! Marah sangat tu!
 
“Meh mama pulak lukis.”
Kata saya. Lantas saya lukiskan gambar fairy yang datang pujuk nak memberi ‘cinta’. Buat mengganti ‘cinta’ yang dah kena pangkah tu.
 
Semudah itu, perlahan-lahan wajah Ammar kembali tersenyum.
 
Gambar ini, hasil kolaborasi antara saya, Ammar dan Aqlan.
 
Agaknya kalau tak melukis tadi, mungkin marahnya dilepas dengan tumbukan. Tak pun jeritan. Paling menakutkan, otaknya mencari perkataan yang tidak baik untuk memuaskan rasa marah dia.
 
Sesiapa pun boleh jadi scary bila tak boleh kawal rasa marah.
 
Pun begitu, menurut pakar, menahan anak dari mengekspresikan marah tu lebih tak sihat. Nak-nak lagi kalau pukul dan marah dia balik supaya dia berhenti marah.
 
Rupanya lebih baik kalau kita tolong anak salurkan rasa marah tu dengan cara yang lebih baik.
 
Sebab, bila menahan anak dari marah, ibaratnya macam menyumbat gunung berapi yang nak meletus. Mereka belum ada sistem kawalan emosi yang matang macam kita. Jadi, peranan kitalah untuk bantu anak membina sistem tu.
 
Eh, tapikan!
Tau tak, kita yang dewasa pun kalau tengah stres, marah, tak happy, elok juga mula melukis. Pandai-melukis, bukan syaratnya. Ambil je pensil atau berus lukisan, ekspresikan sesuatu.
 
Sebab, kajian oleh Kaimal et al pada tahun 2016, melukis akan buat mental kita lebih sihat. Melukis menurunkan hormon kortisol dalam badan. Hormon kortisol adalah sejenis hormon stres. Bahaya kalau biar banyak sangat dalam badan. Boleh mencetus dipresi.
 
Betul tak pakar?
 
Selain melukis, kita boleh bantu anak salurkan emosi-emosi negatif dengan menulis tulisan. Curhat bak kata orang.
 
Kalau yang cenderung cederakan orang atau rosakkan barang bila marah, cuba belikan punch bag atau bola untuk ditendang.
 
Boleh juga bagi playdoh, trampolin, stress ball untuk digenggam, atau peluk aje anak. Sesetengah budak, mahupun kita yang dewasa, memerlukan aktiviti sensori untuk bertenang.
 
Sesetengahnya pulak ditenangkan dengan semudah menarik nafas.
 
Apapun jua cara, pastikan usaha kita membantu anak membina sistem kawalan emosi yang baik. Bukan membina another manusia temper macam kita. ❤️
Share This