“Anak Puan ada alahan telur?” tanya doktor di sebuah klinik kanak-kanak kepada saya.

“Ya. Kenapa ya doktor?”

“Kalau dia ada alahan telur, berkemungkinan besar akan naik alahan ya.” Kata doktor lalu menghalakan botol picagari berisi vaksin MMR ke kaki anak saya yang saya pegang kejab. Muka doktor nampak yakin. Tak ada sebarang penjelasan yang diberi. Jadi saya hanya redha dan betul-betul bergantung kepada kredibiliti doktor tersebut.

Namun selang beberapa hari kemudian, badan anak saya naik bintik-bintik merah. Bermula di celah leher, ketiak, pelipat kaki, kemudian ia merebak ke seluruh badan hingga ke muka.

Ya Allah. Ibu mana yang tak sedih melihat badan anak kesayangan merah hingga luka-luka. Sejak dari hari itu anak saya menggaru dan merengek. Bila malam waktu tidur, badannya sentiasa berguling menahan gatal. Cadar tempat dia berbaring juga basah dengan kesan luka gatalnya. Sayu hati melihat anak menanggung siksa.

Kita sendiri kalau kena sebintat dua akibat digigit nyamuk pun boleh naik gila menggaru. Inikan anak kecil, yang reseptor mereka belum biasa diuji sakit-sakit. Allahu. Tuhan saja yang tahu.

Makin hari, makin hebat rengek dan amuknya. Tak kira waktu saya memasak, menyidai kain, mahupun menggosok gigi, lengan halus saya jadi sofa tempat letak buntutnya. Kadang-kadang tengah tidur pun dia boleh terkejut dan meraung. Bila dah pandai menggaru, sokmo saja tempat yang digaru berdarah. Kesan dari luka tersebut, kulit anak saya bersisik hingga tebalnya boleh dirasai bila memegang badannya walaupun ketika dilapik baju.

Itulah kesan sampingan selepas vaksin yang paling teruk dialami anak. Tapi adilkah saya untuk membuat kesimpulan vaksin memberi kesan buruk terhadap anak saya sedangkan vaksin yang sebelum itu telah menyelamatkan anak saya dari jangkitan penyakit lain seperti Tuberkulosis, Difteria, Tetanus dan lain-lain?

Ya. Nasib baik hanya vaksin MMR itu sahaja yang memberi kesan memandangkan anak saya memang punya alahan terhadap telur. Vaksin lain yang diterimanya, sihat-sihat saja.

Persoalannya, BENARKAH VAKSIN MMR DAN VAKSIN LAIN SANGAT BAHAYA sehingga anak saya jadi sebegini? Berikut adalah penjelasan bersama Dr Amirul Amzar & Dr Huda Kamaruddin doktor di Kementerian Kesihatan dan Pegawai Perubatan Dermatologi berkenaan 5 FAKTA VAKSIN DAN ECZEMA.

1. Semua vaksin BERPOTENSI mencetus eczema yang ada dalam badan penghidap. Tapi vaksin BUKANLAH PENYEBAB eczema.

Dalam kata yang lebih mudah, kalaupun kita tak ambil vaksin, anak kita juga sama berisiko mengalami alahan eczema.

2. Alahan anak saya ini sebenarnya tidaklah di tahap membahayakan nyawa (anafilaksis) tetapi ianya adalah sebagai kesan sampingan yang mana ia jauh lebih selamat berbanding bila anak diancam dengan penyakit yang dapat dicegah vaksin tersebut.

Anafilaksis adalah alergi berat yang terjadi secara tiba-tiba dan dapat menyebabkan kematian. Anafilaksis biasanya ditunjukkan oleh beberapa gejala termasuk di antaranya ruam gatal, pembengkakan tenggorokan, dispnea , muntah, kepala terasa ringan, dan tekanan darah rendah

Untuk anak yang berisiko anafilaksis terhadap telur misalnya, suntikan tidak boleh diberikan ATAU jika perlu, suntikan perlu dibuat di bawah pemantauan pihak hospital atau premis yang boleh bersedia ‘back up’ anak dengan bantuan pernafasan.

Dalam kes saya, apa yang sepatutnya berlaku adalah klinik tersebut perlu menyediakan sesi pemantauan selama 30 minit selepas suntikan diberi, bagi memastikan tak terjadinya anafilaksis. TAPI, kalau pun anak ada alahan terhadap telur, anafilaksis amat amat jarang berlaku.

Perlu diingat ya, yang diberi adalah vaksin. Protein telur hanya diguna waktu pembuatan sahaja. Bukan terkandung dalam hasil akhir vaksin tersebut.

3. Kandungan vaksin adalah antigen. Antigen tersebut akan merangsang sistem imuniti badan utk hasil kan antibodi. Antigen adalah satu bahan asing kepada badan. Bila masuk pada badan, badan akan kenal pasti dan bertindak balas menghasilkan antibodi untuk melawannya.

Sama macam eczema juga, pencetusnya adalah antigen. Tak kisahlah antigen dari debunga, bulu kucing, habuk ataupun vaksin, bila badan mengesan antigen atau benda asing di dalam badan, sistem imun akan memberi respon untuk melindungi badan dari jangkitan.

Dalam kes eczema, respon terhadap bahan asing (punca alahan) adalah keterlaluan (hypersensitivity) sehingga menyebabkan terjadinya reaksi seperti yang dialami anak saya.

Kalau telur menyebabkan pencetus eczema anak saya, ia mungkin tidak pada anak orang lain. Setiap pengidap eczema mempunyai sebab pencetus yang berlainan. Tapi jarang ia disebabkan oleh pemakanan. Kebanyakannya adalah disebabkan oleh faktor luaran.

4. Penghidap eczema ini amat sensitif terhadap persekitaran luarannya. Lebih-lebih lagi kerana sifat kulitnya yang tidak memegang lembapan dengan baik. Biarpun kita berhabis beribu-ribu untuk kos rawatan kita, eczema tidak akan dapat disembuhkan, kerana ia adalah dalam genetik keturunan mak ayah kita yang mungkin mengalami eczema, asthma, atau resdung.

Usaha yang boleh kita lakukan adalah KAWAL.

Langkah-langkah Kawalan Eczema:

+ Elak memandikan anak guna sabun antibakteria. Sabun tersebut menambah kering kulit anak. Guna sabun khas yang boleh dipilih dengan bantuan ahli farmasi.

+ Elakkan mandi air panas, ia juga menambahkan kering kulit. Berendam di dalam tab mandi dengan suhu air biasa adalah digalakkan.
Selepas mandi, segera pakaikan losyen khas yang disarankan ahli farmasi kepada anak.

+ Habuk tak boleh, hama tak boleh, nak dekat dengan kucing pun takut. Nak taknak, terpaksa jadi ibu bapa yang paranoid, bila nampak tangannya kena debu je, basuh segera. Elakkan menjaga kucing, mainan berbulu dan juga karpet di rumah.

+ Musim panas ni lagilah serba salah. Berpeluh boleh cetus eczema, pasang pendingin hawa sampai kulit kering pun boleh cetus juga.
Usaha yang terbaik, bila anak berpeluh, cepat-cepat lap. Bila nampak kulit anak mulai kering, basuh tangan kita dan sapu losyen pada ank.

+ Pakaikan anak dengan pakaian yang menyerap peluh seperti kapas.

+ Jangan biarkan si kecil kita menangis lama-lama. Lap air matanya dan pujuk segera. Ini kerana ‘stress’ yang dihadapi anak akan mengganggu sistem imun tubuh seterusnya mencetus eczema. Jadi kalau nampak eczema anak naik di musim peperiksaan, faham-fahamlah tahap stress anak macam mana ya!
.

5. Ubat buat meredakan eczema yang biasa dicadangkan farmasi adalah yang berasaskan steroid. Walaubagaimanapun ia PERLU digunakan dengan berhati-hati. Satu tiub ubat tidak boleh dikongsi oleh semua ahli keluarga.

Jumlah krim steroid yang dibenarkan kepada kita, tidak sesuai untuk anak 4 tahun. Krim steroid anak kita yang 4 tahun juga tidak sesuai untuk bayi bawah setahun. Malah, krim yang boleh disapu pada badan, boleh jadi tidak sesuai disapu di wajah.

Yalah, tebal kulit badan dengan muka kan lain-lain. Penggunaannya juga tak boleh terus menerus dan sapu pada kulit macam kita sapu bedak batu di wajah. Sapuannya kena nipiiiiiiiss ya amat.
.
Eczema ini penyakit macam biskut. Kejap ada, kejap tak ada. Bila dikawal, dia hilang. Bila tak jaga, dia kembali datang. Bagaimanapun ia tidak berjangkit memandangkan ia diwarisi dari genetik keturunan ibu dan ayah.
.

Mengambil vaksin bukan kerana kita tidak percaya akan kuasa Allah menyembuhkan penyakit. Allah sendiri meletakkan syarat tawakkal itu selepas kita berusaha. Selepas usaha mengawal penyakit dengan vaksin, baru layak untuk kita menyerah urusan selanjutnya pada Allah. Cuba tengok gambar ni. Ini adalah penyakit yang telah terhapus hasil dari teknologi vaksin. Mahukah ia kembali menyerang kita?

(Gambar menunjukkan kanak-kanak yang mengidap polio. Penyakit ini telah pupus di Malaysia disebabkan teknologi vaksin.)

(Gambar menunjukkan beza kanak-kanak yang telah divaksin dengan tidak divaksin. Penyakit ini iaitu Small pox telah pupus pada tahun 1977 hasi dari teknologi vaksinasi.)

Jom, jaga ‘herd immunity’ kita elok-elok supaya anak kita dilindungi dari ancaman penyakit yang mengerikan dan membawa maut.

Share This