Ini yang perlu kita buat bila anak 1-3 tahun mengamuk

Ini yang perlu kita buat bila anak 1-3 tahun mengamuk

Kesian saya tengok kawan-kawan yang ada anak umur 2 tahun ni.

Kadang-kadang, tengah tenang berjalan, tiba-tiba anak menangis. Bukan menangis biasa tau. Yang berguling-guling, baling barang tu. Orang tengok pun dan macam kena dera pun ada.

Padahal, sebab anak tu nangis sebab benda kecik je. Contohnya, anak tu nampak monyet lalu. Tapi monyet tu tak pandang dia balik.

Atau ada iklan upin dan ipin kat TV. Tapi lepas tu, iklan tu habis.

Aduh… Pening weh. Dah la benda tu di luar kawalan kita.

Teringat zaman anak saya sekitar umur tu. Ada ketika yang saya sendiri pun terduduk menangis, sebab gagal tenangkan anak.

Sebenarnya, kita kena bersyukur sekiranya anak kita dari umur 1 tahun 3 bulan sehingga 2 tahun ni mula tunjukkan perangai mengamuk ni.

Ini menandakan, mereka berada pada fasa yang normal. Kadang-kadang, yang kita lihat negatif tu, rupanya baik untuk perkembangan anak. Yang belum reti mengamuk, menangis dan nampak tenang tu yang mungkin sebenarnya tak normal.

Kenapa pulak macam tu?

Kerana pada usia itulah otak emosi anak sedang terbentuk.

Menurut Dr Daniel Siegal, otak anak ni macam rumah dua tingkat.

Tingkat bawah adalah ruang emosi. Ruang dimana tercetus dan terkumpulnya emosi seperti sedih, kecewa, marah dan sebagainya.

Manakala tingkat atas adalah ruang rasional dan logik. Ruang dimana emosi negatif akan diuruskan dengan baik.

Sayangnya, waktu anak umur 1.3-2 tahun, anak hanya ada tingkat bawah. Belum ada tingkat atas lagi!

Ibarat macam rumah yang tak siap. Takde bumbung dan tak berlepa lagi. Jadi, macam mana ledakan emosi tu nak diurus?

Nak-nak pula, kosa kata mereka masih limit. Nak describe apa yang dirasa pun, tak reti lagi.

Waktu anak mengamuk tu, cakaplah apa sahaja ayat nasihat. Bawaklah Dr Fadilah Kamsah sekalipun untuk bagi motivasi, fikiran anak tetap tak mampu rasional.

Pada waktu inilah, respon kita mesti tepat. Kita mesti kekal kental. Kalau kita tak kental, kita pun mengamuk sekali dengan anak, sampai bila-bila pun tingkat atas anak tu tak siap-siap.

Pernah nampak orang dewasa yang menghempas kucing sebab kucing tu duduk atas kereta dia?

Atau pecahkan cermin kereta orang hanya kerana berebut parking?

Atau mengamuk balik setiap kali anak mengamuk. Dia suruh anak hentikan ribut emosi, ironinya, ribut emosi dia sendiri dia tak berjaya kawal. Adeh… Saya pun pernah je dulu jadi gini.

Sebenarnya, dewasa yang susah kawal emosi pun, MUNGKIN petanda tingkat atas otak kita tak betul-betul siap.

Taknak kan, anak membesar macam tu?

Sebab itu kita perlu beri respon yang betul bila anak mengamuk. Pasti kan kita jadi pembimbing, bukan ikut emosi tak tentu pasal.

Tips hadapi anak mengamuk :

1) ALIHKAN PERHATIAN dengan membuat jenaka. Contoh yang saya buat ialah, bila anak mengamuk je, saya katakan pada anak.
“Abang marah? Ok, nak marah takpe, tapi.. Jangan gelak!”

2) PELUK, belai belakang badannya dan buai anak perlahan. Seolah-olah kita nak tidurkan dia.

Sebutkan kata-kata yang buat anak rasa selamat. “It’s ok. Mama ada.”

3) Sebutkan emosi yang sedang anak rasa. Ini dinamakan VALIDATION.

“Abang marah ke? Besar mana abang marah? Nak cuba lukis macam mana rupa abang marah?”

Validation ini lebih berkesan berbanding kuta memaksa anak berhenti menangis.

Ia membuatkan anak rasa lebih tenang. Malah, dia akan belajar Apakah nama emosi yang dia sedang rasai.

Jadi lepas ni, bila dia nak marah ke kecewa ke, dia akan sebut perkataan untuk ekspresikan emosinya. Instead of mengamuk.

4) ROLE MODEL.
Jadi role model yang baik untuk anak.
Kalau kita ketuk meja bila marah, anak pun akan ketuk meja bila mereka marah.

Kalau kita istighfar, anak pun akan istighfar. Kalau kita bercerita luahkan perasaan bila sedih, anak pun buat perkara yang sama kat kita bila dia sedih.

5) Ajar anak RELAXATION TECHNIQUES seperti tarik nafas, istighfar, ambil wuduk dan mindfulness bila marah.

Teringat saya minggu lepas Aqlan menangis sebab kami dah janji nak belikan roti lepas mandi kolam. Tapi balik je dari mandi, kedai roti tutup.

Apa lagi, menangis kecewalah Aqlan. Waktu tu, kalau ikutkan letih, mau saja saya marah dia suruh berhenti menangis. Tapi kang, jadi bertambah haru pulak.

Jadi, saya dan dia duduk, lalu saya tanya padanya.

👸”Aqlan kecewa ye kedai dah tutup?”

👶”Aah. Aqlan kecewa. Aqlan nak jugak roti.”

👸 “Yelah, Aqlan dah tunggu dah kan. Tiba-tiba tutup pulak. Mestilah frust.”
Waktu ni, Aqlan dah makin tenang. Lega agaknya saya faham.

👸 “Mama ada idea lain. Tapi tak taulah Aqlan nak ke tak? Mama ingat, nak pergi cari kedai roti lain kat sana. Entah-entah lagi sedap! ”

Terus Aqlan konon-konon buat muka masih merajuk dan bercakap, “Boleh ajelah!”

Fuh.. Alhamdulillah settle.
Kalau saya ikutkan perasaan, mungkin drama Aqlan melarat . Saya pun tak settle marah kan dia.

Tapi, kalau kita boleh bersabar sikit, kekal waras, insya Allah amuk anak boleh selesai dengan baik.

Betul tak?

Tapi kalau anak dah 4 tahun masih mengamuk dan sukar ditenangkan, jumpa lah pakar. Kita bantu anak kita cepat-cepat.

.

WAWA SHAUQI
Masih renovate otak tingkat dua bagi lagi cantik.

Jangan lupa share ilmu ni. Ramai mak ayah di luar sana perlukan info ni.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )