Remaja sekarang tiada adab! Kurang budi bahasa. Tidak menghormati mereka yang lebih tua.

Inilah kenyataan yang saban tahun terpaksa kita telan dari masyarakat. Ada sahaja kes viral yang menjadi bukti terhadap kenyataan tersebut. Baru-baru ini tular satu video sekumpulan remaja membuli seorang pakcik tua.

Sesiapa sahaja yang menontonnya pasti terbit rasa kesal. Betapa tergamak remaja-remaja itu mempersendakan seorang tua yang dilihat tidak berdaya untuk membalas.

Pakcik tersebut dikatakan cuba menegur dan mengajak sekumpulan remaja yang sedang melepak untuk menyertai solat Asar di surau berdekatan. Walau bagaimanapun, teguran itu tidak disenangi mereka, lalu pakcik tersebut dibuli dengan cara diejek, dijatuhkan motosikal dan dibaling kotak oleh remaja-remaja itu.

Allahu. Memang sedih. Lagi-lagi bila memikirkan insan tua itu adalah ayah atau atuk kita sendiri. Sangat berbeza berbanding zaman mak ayah kita dulu; orang tua dipatuhi dan dihormati.

Sedih dan kecewa manapun kita terhadap insiden yang berlaku ini, kita perlu terima kenyataan bahawa apa yang berlaku adalah indikasi kepada keadaan sebenar generasi sekarang. Mujur juga insiden sebegini boleh viral. Setidak-tidaknya, masyarakat mula buka mata dan isu ‘adab’ ini mula dibincang, diperhalusi dan dicari solusinya oleh banyak pihak.

Pada hujung bulan lalu, saya dijemput oleh Radio Bernama untuk mengisi slot Kartini, bagi mengupas berkenaan isu ini. Antara soalan utama yang diajukan adalah punca mengapa remaja zaman kini semakin tidak beradab.

Antara sebabnya adalah:

1. Ibu ayah tidak main peranan untuk jadi role model

‘Rumah’ perlu jadi institusi atau sekolah pertama untuk setiap anak-anak. Ibu bapa pula perlu jadi gurunya.

Ini bermakna, sebelum anak-anak mula didaftarkan di tadika/ taska, ibu dan ayah perlu memainkan peranan mendidik anak-anak. Di sekolah, tidak ada silibus khas yang mengajar EQ, adab dan akhlak. Ya, kita mungkin ada subjek Pendidikan Islam. Tetapi, ia tidak memenuhi keperluan bagi membentuk sahsiah anak sekiranya kita ibu dan ayah di rumah tidak menjadi contoh yang baik untuk diikuti.

Apa yang lebih parah, ada segelintir ibu ayah yang tidak ambil peduli apabila anak sendiri menunjukkan sikap yang tidak baik. Malah ada yang menyokong tindakan anak dan membangkang sesiapa yang cuba menegur kesalahan anak.

Pernah seorang rakan berkongsi pengalamannya sewaktu sedang menjamu selera di sebuah restoran mamak. Tiba-tiba terdengar suara kanak-kanak berteriak kepada pelayan di situ,
“Cepatlah bodo! Apa yang lembab sangat ni! Orang dah lapar ni!”
Pengunjung yang ada di situ terbeliak mata sambil mengalih pandangan pada empunya suara, iaitu seorang kanan-kanak berusia dalam lingkungan 8 tahun. Apa yang menyedihkan, si ibu bersorak bangga, sambil menepuk tangan dengan kelancangan anaknya.

Saat itu semua yang menyaksikan inisiden itu tahu, dari mana datangnya acuan biadab seorang anak kecil.

Ibu bapa seharusnya menjadi cerminan dan ikutan anak-anak. Sedari kecil, anak-anak kita lebih cenderung mengikut apa yang dilihat dari perbuatan ibu bapa berbanding mengikut apa yang disuruh ibu bapa.

Jadi ibu bapa disarankan untuk membudayakan adab-adab asas bila di depan anak. Antaranya ialah, berterima kasih kepada pelayan restoran yang menghantar makanan, tukang cuci toilet di premis, tukang angkat sampah, pengawal keselamatan yang menjaga kawasan rumah serta sesiapa sahaja yang lebih rendah tarafnya dari kita.

Tunjukkan kepada anak, hormati semua orang tak kira usia, taraf, bangsa dan juga agama.

2. Pengaruh rakan sekeliling.


Beberapa hari lalu, saya terbaca sebuah artikel berkenaan seorang pelajar asrama yang terjebak dalam ketagihan seks sejenis. Hasil pengakuan yang direkodkan, penglibatan pelajar ini bermula dari pengaruh rakan sebilik. Walaupun remaja tersebut bermula dari seorang lelaki ‘lurus’ yang tidak pernah tau akan seks sejenis, akhirnya terjebak bermula dari usikan dan sentuhan ringan. Kemudiannya bertukar menjadi ketagihan video sebelum mula terjebak.

Betapa sahsiah dan akhlak seorang rakan amat mempengaruhi pembentukan jati diri anak-anak.

Dalam hal ini, sangat penting untuk kita ibu bapa menjadi sahabat paling karib kepada anak. Pastikan anak menjadikan kita sebagai sumber jawapan yang tepat dan utama bagi kebanyakan persoalan anak, terutamanya hal yang bersifat peribadi dan intim seperti pengetahuan asas tentang seks. Ini adalah penting supaya mereka tidak mencari jawapan dengan cara dan sumber yang salah di luar sana.

Bagi menggalakkan anak menjadikan kita sebagai tempat rujukan yang utama, kita perlulah mewujudkan rasa selesa bila berbicara dengan mereka. Banyakkan berbual dengan anak secara santai. Jangan semata-mata ayat keluar dari mulut kita kepada mereka adalah arahan dan teguran.

Dampingi anak-anak kita. Mungkin tak ramai yang menyedari, anak kita sewaktu kecilnya sentiasa melihat kita sebagai hero. Kita adalah pelindung yang membuat mereka rasa selamat.

Namun perlahan-lahan kepercayaan itu terhakis melalui sikap kita sendiri yang jarang bersama anak. Sedarkah kita, sedikit demi sedikit ‘Sense of belongings’ pada diri anak di dalam rumah sendiri hilang, setiapkali kita menangguhkan waktu untuk bersama mereka? “Nanti kejap” yang sering kita ucap kepada anak yang sedang memerlukan, membuatkan anak mencari rakan lain di luar rumah.

Lebih malang sekiranya ‘rakan lain’ yang buat anak rasa dihargai itu merupakan rakan yang membawa anak ke jalan yang salah.

3. Belum matang.

Dalam otak kita ada satu bahagian otak yang bernama neokortex yang berfungsi menimbang logik banyak perkara. Bahagian otak ini membantu kita berfikiran matang dan waras serta mempertimbangkan antara perkara baik dan buruk.

Bahagian otak ini akan matang sepenuhnya pada purata umur 25 tahun. Jadi, kita akan lihat, mereka yang masih belum mencapai usia ini kerap merekodkan kesalahan yang tidak sepatutnya. Apa sahaja yang dirasakan ‘cool’ dan menyeronokkan, akan dicuba.

Ini adalah antara punca mengapa banyak masalah sosial berlaku di kalangan mereka yang berumur 25 tahun ke bawah.

4. Rasa diri mula berkuasa/ wrong self image


Lihat anak-anak kecil disekeliling kita. Apa yang mereka lalui? Jika dari kecil mereka kerap dimarah, dicaci, dimaki, disebut-sebut salahnya berulang kali, tanpa kita sedar perkataan yang disebut-sebut itu akan diserap di minda-luar-sedarnya, yang kemudiannya menjadi jati diri (self image) mereka. Ia kemudiannya diterjemah melalui tingkah laku.

Bayangkan sekiranya ‘self image’ seperti ‘Aku nakal. Aku tak pandai. Aku teruk.’ ditanam di minda anak-anak setiap hari, itulah yang akan jadi konsep diri mereka, hingga terbawa ke alam dewasa dewasa.

Jika kita merasakan anak mudah patuh bila kerap dimarah, sebenarnya patuh itu hanya berlaku untuk peringkat permulaan. Pada peringkat permulaan ini, bahagian amygdala pada Otak Reptilia anak menerima kesan ‘stres’ dimarahi untuk bertindak memberi ekstra penumpuan.
Namun apabila ‘stres’ ini diterima secara berlebihan, struktur otak akan mula berubah sehingga mengaktikan respon 3F (‘Fight, Flight dan Fear’).

Bayangkan apabila hari-hari otak ini diaktifkan, ia akan menujukkan kesannya bila anak mula meningkat remaja. Anak-anak akan mula memperlihatkan respon melawan, apabila mula rasa ada kekuatan dan keupayaan.

5. Teknologi & Media

Zaman 80-an, kebanyakan kanak-kanak mendapat pengaruh media melalui tv, majalah serta komik. Tatapi pada hari ini teknologi menawarkan informasi tanpa batasan.

Hanya dari hujung jari, informasi dari seantero dunia dapat kita raih dengan mudah. Jika kita mencari sebarang info di enjin carian, ia akan menyenaraikan hasil carian yang sangat meluas. Malah, 2-3 klik mempu membuatkan kita menyimpang ke info yang tidak berkaitan.
Mudah terpesong dan mudah mendapat info sonsang! Jika tidak dikawal, apa sahaja yang terhidang di medan carian di internet akan diserap oleh anak-anak yang masih mentah ini.

Jika dahulu kita risaukan anak terlibat dalam jenayah gangsterisma dan dadah, namun yang berlaku hari ini, lebih menakutkan. Lihat betapa banyak kes porno melibatkan mereka yang masih muda. Lebih menakutkan apabila kanak-kanak juga terlibat dalam menyebarkan imej diri tanpa pakaian kepada orang yang tidak dikenali di pelbagai aplikasi sosial.

Dalam hal ini, tidak ada cara mudah untuk menahan perkara ini dari terus berlaku, melainkan kita ibu bapa main peranan mengawal penggunaan apa sahaja gajet di kalangan anak-anak.
.

Masalah remaja tidak beradab ini akan terus berterusan sekiranya masyarakat tidak menyedari akan kepentingan penguasaan EQ sebagai yang utama berbanding penguasaan akademik. Sekiranya mindset ‘biar tidak beradab, asalkan pandai’ di kalangan ibu bapa khususnya tidak segera diperbetulkan, masalah kebejatan adab ini akan terus berlaku hingga ke generasi akan datang.

Kerjasama dari guru, campur tangan kerajaan serta pelbagai pihak amat diperlukan dalam membantu generasi hadapan. Pun begitu, harus diingat, penguasaan EQ, adab dan akhlak ini memerlukan pemerkasaan bermula dari pendidikan awal kanak-kanak lagi, iaitu bermula dari rumah sendiri. Lebih awal usaha bermula, lagi mudah bakal pemimpin negara yang bermoral dan berwibawa dibentuk.

 

 

 

Share This