Galakkan Anak Bertanyakan Soalan

Galakkan Anak Bertanyakan Soalan

Ibu bapa dan guru perlu galakkan anak bertanyakan soalan. Tidak semua anak-anak mempunyai keberanian untuk bertanyakan soalan.  Bagi kanak-kanak yang aktif, banyak bercakap dan tidak berasa malu, mereka lebih cenderung aktif di dalam kelas, sering teruja mengikuti aktiviti pembelajaran dan buat aktiviti baru, atau banyak bertanya banyak soalan walau sudah diterangkan oleh guru. 

Setiap orang mempunyai perwatakan tersendiri, Ada yang pemalu, ada pula yang cepat mesra dengan sesiapa sahaja walau baru sahaja dikenali. Namun, bagaimana pula dengan murid, atau anak-anak yang pendiam? Perlukah dibiarkan sahaja, atau ada cara untuk membantu mereka? Di dalam classroom setting, terutama di peringkat pendidikan awal, jika tidak dilatih sejak awal, ia akan memberi impak besar iaitu mengiyakan apa sahaja tanpa sebarang soalan. 

Punca Anak Tidak Bertanya Soalan

Antara punca utama kenapa anak tidak bertanyakan soalan adalah: 

  1. Malu tak bertempat – Kita malu jika soalan yang ditanya itu tiada kaitan dengan pembelajaran yang sedang berlangsung, atau jika nantinya hampir sama dengan soalan lain yang sudah ditanya. 
  2. Takutkan rakan sebaya – Jika ditanya banyak kali, takut diejek pula. Tidak pun, jika tertanya soalan ‘bodoh’, habis ‘dibahan’ oleh rakan-rakan sehingga habis sekolah. 
  3. Takut nampak bodoh – Kita selalu risau kalau soalan itu soalan bodoh dan nanti apabila ditanya akan memperbodohkan diri sendiri. Tetapi selagi kita tidak bertanya, apa pun kita tak akan dapat. 
  4. Tidak tahu bagaimana hendak tanya – Ada sesetengah orang sukar membina soalan. Kadang-kadang terpaksa menulis dahulu soalan atas kertas dengan lengkap. Akhirnya…

Kesan daripada hal ini ada dua. Pertama, ilmu yang kita peroleh itu tidak lengkap. Kalau rajin membuka buku atau google tidak mengapalah juga, ini tidak, kita biarkan kekosongan itu terus kekal kosong. 

Kedua, ia berlanjutan ke peringkat tinggi. Sudah menjadi tabiat tidak mahu bertanya di dalam kelas. Apabila ramai orang sebegini dalam suatu komuniti, maka ia menjadi budaya. Hasilnya kita jadi pak turut dan mengiyakan semua perkara. Tahu salah, tapi budaya ‘jangan tanya’ sudah sebati dalam diri, jadi kita diamkan saja. Ini yang kita takutkan – membudayakan peradaban yang tidak sihat.

Bukan sahaja di tempat kerja atau pengajian tinggi, malah di rumah pun pasti wujud kelemahan interaksi antara ibu bapa dan anak. 

Galakkan Anak Tanya Soalan

Cara Untuk Memastikan Anak Murid bertanya Soalan di dalam Bilik Darjah

Terdapat beberapa cara menarik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan guru dalam melatih anak memberanikan dan yakin pada diri (khususnya peringkat pendidikan awal): 

  • Selitkan permainan khas untuk bertanyakan soalan. Bagi peluang mereka tanya apa saja kepada rakan-rakan. Boleh juga tetapkan tema-tema tertentu, tetapi lebih umum pun tidak mengapa, supaya soalan masing-masing lebih kreatif. 
  • Cuba lakukan di dalam kumpulan yang lebih kecil atau berpasangan. Sekurang-kurangnya, ia dapat kurangkan perasaan anxiety (keresahan) kanak-kanak dan meningkatkan konsep kendiri (self-concept). 
  • Sediakan satu kotak soalan dan suruh mereka letakkan kertas soalan dalam kotak. Boleh juga untuk jadikannya anonymous. Ini lebih sesuai untuk kanak-kanak yang sudah pandai menulis. 
  • Ambil tahu latar belakang kanak-kanak. Adakah kanak-kanak itu bertutur di dalam bahasa Melayu atau Inggeris di rumah, atau loghat lain? Mungkin juga masalahnya ialah kerisauan jika salah tatabahasa atau tidak cukup perbendaharaan kata. 

Saya pernah mengalami kesukaran yang teramat apabila melakukan latihan perguruan (placement) di luar negara. Bayangkan, kanak-kanak yang pelat bertutur Bahasa Melayu pun susah nak faham, apatah lagi pelat dalam bahasa lain. Maka, pentingnya cikgu memahami bahasa kanak-kanak yang baru hendak berkembang. Kita adalah guru dan kitalah mediumnya. 

Kadang-kadang, sebagai orang dewasa janganlah kita terlalu rigid. Boleh juga terima jika anak murid mahu kongsikan pengalaman, kongsi ringkasan atau kesimpulan daripada apa yang mereka fahami. 

Jangan marah jika mereka tiada soalan kerana sampai bila-bila pun mereka tidak akan bertanya. Jangan seronok pula apabila tiada soalan. Bukan sebab pengajaran anda terlalu sempurna sehingga tiada apa yang hendak ditanyakan. Jangan salah faham dengan ruyung yang masih belum dipecahkan. 

Untuk ibu bapa, jangan malas menjawab soalan.

Pernah tengok kan, iklan ‘ini burung apa’? Tenang si ayah menjawab persoalan si anak walaupun soalan yang sama ditanya berulang kali. 

 

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )