Susahnya rasa nak kawal marah. Ada aja perilaku anak rasa tak kena. Adik bergaduh dengan abang, abang rampas mainan adik. Kita suruh makan dia tak makan. Aduhhh! Macam manalah nak tahan marah.

Itulah anak. Membesarkan mereka bukan sekadar fizikal dan mental yang teruji. Maruah pun sekali. Lebih-lebih lagi bila anak menjiwai watak agresif bila bertandang ke rumah orang. Bergolek rasa maruah ke kaki-kaki orang yang tengok perangai anak.

Setinggi mana ilmu parenting kita, tidak akan terkecuali dari diuji sifat azali kanak-kanak yang sedang membesar itu. Saya pun manusia biasa. Kadang-kadang tak terlepas juga dari marah-marahkan anak yang tercinta.

Mujurlah tau mana nak cari motivasi. Kadang-kadang, saya buka semula ebook Mudahnya Kawal Emosi tulisan dr Taufiq Razif. Ilmu paling suka saya gunakan adalah urutan tangan dan teknik pernafasan. Telinga masih panas dan dada masih berombak tahan marah pun, masih sempat guna teknik tu.

Bab marah anak ni, rupanya ada syarat yang perlu kita ikut. Iye! Rupanya bila marah dikaitkan dengan ilmu agama dan psikologi, banyak garis panduan dan peraturan yang perlu kita ikut.

NAK MARAH BOLEH. TAPI…

 

1) Jangan marah ketika kita sedang dikuasai emosi.

Sewaktu sedang emosi, badan kita banyak menghasilkan tenaga. Otak pula jadi hilang rasional. Dua penyebab ni buat kita cenderung sebut benda yang melukakan hati. Baik yang kena marah, mahupun yang mendengar. Lagi teruk sampai mencederakan orang yang kita sedang marah tu.

 

2) Perlu sentiasa ingat, marah untuk mendidik, bukan untuk melepaskan geram.

Sewaktu marah, analisa tindakan kita, adakah ia mendidik anak ataupun sekadar melepaskan rasa marah? Jika hanya melepaskan rasa marah, ia memberi kesan yang tidak baik kepada anak. Dikhuatiri anak ‘meneladani’ sikap panas baran kita.

 

3) Lepas marah, isi semula tangki emosi anak dengan pujian, pelukan dan kata-kata sayang.

Sebagaimana kita apabila dimarahi, ia memberi kesan kepada emosi kita sepanjang hari. Sehingga mengganggu kualiti kerja pada hari tersebut.

Bayangkan pula anak yang baru belajar mengendali emosi dikejutkan dengan tengkingan dan herdikan oleh orang yang disayangi. Dah tentu ia mengganggu emosi mereka buat ketika itu.

 

4) Jangan MEMBEBEL waktu anak tengah nangis/ mengamuk.

Sebagaimana mak ayahnya, anak pun tak rasional waktu sedang mengamuk. Apatah lagi untuk menyerap apa yang kita bebelkan. Jadi, biarkan mereka reda dahulu. Setelah emosinya mulai stabil, ringkaskan perkara yang perlu mereka perbetuli.

 

5) Bila anak dah tenang, nyatakan kepada dia secara spesifik perangai dia yang kita marah.

Bukan melabel. Ini penting supaya mereka jelas mengapa mereka dimarahi.

Contoh :
“Awak ni NAKAL. Mama marah awak NAKAL.
“Mama tak suka Ammar gunakan tangan untuk pukul. Tangan ini Allah bagi untuk tolong orang, salam orang dan sayang menyayang”

Kemudian, beri solusi:
“Tapi kalau Ammar rasa nak pukul jugak, pukul bantal ni. Bantal tak sakit kalau kita pukul dia. Tapi kalau pukul adik, adik sakit.”

 

6. Jangan pukul anak yang belum berusia 7 tahun.

Anak yang berusia 7 tahun ke bawah, masih belum mumaiyiz. Mereka masih sukar membezakan antara perkara yang salah dan betul.  Rasulullah sendiri menganjurkan, selepas 7 tahun, boleh sekiranya nak dipukul. Cuma, perlu elakkan dari memukul dari lutut ke atas.

Dan, jika ingin memukul, hanya tapak kaki yang dibolehkan. Hikmah disebalik suruhan tersebut adalah kerana di bahagian kaki terletaknya banyak saraf badan. Jika dipukul dengan betul, boleh memberi stimulasi yang baik untuk kesihatan.

 

6. Jangan marah di hadapan kawan-kawan atau adik beradiknya yang lain.

Mereka juga ada rasa malu. Maruah dan air muka mereka juga punya nilai untuk dijaga. Maruah seorang kanak-kanak  yang tidak dijaga menjadikan kanak-kanak tersebut dewasa yang menyimpan dendam.

 

7. Kalau terlajak marah secara berlebihan, sampai terpukul dan sebagainya, minta maaf pada anak.

Jangan risau. Mengaku silap kita tidak menjatuhkan martabat kita sebagai ibu ayah. Malah anak akan belajar untuk mengaku silap. Berbuat salah itu salah. Tapi meminta maaf itu adalah baik. Malah ia menjadi indikasi bahawa jiwa seseorang itu kuat.

.

Marah itu dipandu oleh syaitan. Jadi sebelum syaitan ambil emosi kita dan bawa ke tempat yang kita tidak mahu, ambil alih panduan segera.

Haa… sekarang baru tau marah pon ada peraturan kan. Jika peraturan yang disarankan agama tidak diikut, takut-takut anak-anak membesar dengan jiwa yang mengecil, kurang keyakinan diri atau membina sifat agresif dalam diri anak.

Bak kata Adlil Rajiah, jadilah mak ayah yang kita nak anak jadi. Jika kita memilih menjadi mak ayah yang mudah emosi, anak juga akan mudah beremosi. Begitu juga jika kita mahukan anak yang tenang dan petah bila berbicara, tenang dan petah jugalah kita apabila bersama anak-anak.

Share This