“Ibu… Mira nak juga chocolate tu!”

Suara nyaring si kecil membuatkan semua mata tertumpu padanya. Kakinya dihentak, baju wanita di hadapannya ditarik berulang kali sambil menangis.

Saya teruskan sahaja membelek barang di rak. Tidak mahu lagi menonton drama anak-beranak itu. Memahami situasi sang ibu yang mungkin sedang berusaha mendidik anak kecilnya tentang pemakanan.

Pernah tak kita mengalami situasi di atas? Sehingga kita hairan, kenapalah agaknya makanan-makanan manis ni budak-budak suka sangat. Lollipop, donat berinti, gula-gula warna-warni, aiskrim, coklat macam-macam perisa.

Setiap hari asyik duk minta saja. Nasi berlauk tak berapa laku di rumah. Air masak jangan mimpilah nak minum sangat. Kita jadi pening.

Apa agaknya yang membuatkan gula putih ni begitu dominan sekali pengaruhnya di kalangan anak-anak?

Dalam industri, penghasilan gula putih komersial melibatkan pelbagai proses yang kompleks. Bayangkanlah, daripada jus tebu yang asalnya berwarna hijau gelap kecoklatan, ia boleh berubah menjadi kristal putih bersih seperti yang kita lihat sekarang.

Proses yang rumit ini melibatkan banyak bahan kimia iaitu kalsium hidroksida, sulfur dioksida, asid fosforik dan beberapa sebatian polimer.

Untuk menghasilkan gula putih, tak cukup dengan bahan kimia sahaja, ia memerlukan suhu dan tekanan tinggi. Ditapis berkali-kali.

Kesemua proses tersebut menyebabkan segala vitamin dan kandungan mineral semulajadi yang asalnya ada di dalam jus tebu musnah begitu sahaja.

Inilah penyebab skala indeks glisemik (GI) gula putih berada di kedudukan yang paling tinggi iaitu 100. Akhirnya yang kita dapat hanyalah rasa manis dan kalori yang tinggi, tanpa sebarang khasiat.

 

Apa itu Indeks Glisemik (GI)?

Indeks glisemik adalah skala kedudukan makanan berkarbohidrat yang menunjukkan paras sesuatu makanan itu menaikkan gula dalam darah selepas ia dimakan. Skala yang diberi adalah dari 0 hingga 100.

Makanan yang mudah dicernakan dan ditukar menjadi glukosa dalam darah dikategorikan sebagai makanan GI Tinggi. Skala makanan yang tinggi GI adalah lebih dari 70.

Makanan yang rendah GI pula adalah makanan yang lambat dihadam dan ditukar menjadi glukosa. Skalanya adalah kurang daripada 55.

Manakala makanan yang sederhana GI dengan skala di antara 56 hingga 69 pula menaikkan paras glukosa dalam darah secara beransur-ansur.

 

Bagaimana Makanan Dan Minuman Yang Tinggi Gula Putih Menyebabkan Ketagihan Pada Anak-anak?

1. Nilai GI gula putih yang tinggi
  • Apabila kita makan makanan yang tinggi GI, kadar kenaikan paras glukosa dalam darah yang pantas menyebabkan insulin dirembeskan dengan cepat.
  • Ini adalah tindakbalas semulajadi tubuh untuk menurunkan paras glukosa dengan segera, kerana tubuh manusia tidak sepatutnya mempunyai paras gula yang terlalu tinggi dalam darah.
  • Apabila anak kurang aktif, hanya sebahagian sahaja tenaga yang digunakan dan selebihnya akan disimpan sebagai lemak. Apabila paras gula turun mendadak, tubuh akan merasa lapar semula walaupun kita baru sahaja makan beberapa jam sebelumnya.
2. Rasa manis akan merembeskan hormon dopamine (reward hormone)
  • Dalam otak kita, ada satu bahagian yang dipanggil reward centre. Rasa manis dari gula akan trigger bahagian ini, seterusnya menghasilkan hormon gembira dopamine.
  • Makna mudahnya, bila anak kita makan dan minum benda bergula manis ni, badan dia automatik rasa di reward. Perasaan “high” kata orang.
  • Bila hormon ini makin kurang, tapi badan tetap nak rasa gembira sentiasa, maka bermulalah fasa ketagihan tanpa kita sedari.
  • Apabila kitaran ini berulang dalam tempoh yang kerap, otak anak mula adjust rembesan dopamine tersebut. Kena tambah sukatan lebih barulah boleh dapat kesan “high” yang sama seperti awalnya.
  • Daripada hanya suka-suka, ia bertukar menjadi ketagih. Paling menakutkan, ia adalah ketagihan yang sama seperti menonton filem lucah dan ketagihan skrin.
  • Kesemua jenis ketagihan memberi kesan yang sama pada badan anak kita iaitu rasa di reward akibat rembesan hormon dopamine ini.

Ketagihan Manisan Pada Kanak-kanak Bahaya

Masalah terbesar bagi makanan yang tinggi gula, MSG, pengawet dan perisa tiruan adalah ia memberikan efek ketagihan kepada anak-anak kecil, kanak-kanak dan remaja.

Disebabkan tubuh badan badan mereka masih fragile berbanding orang dewasa, maka mereka lebih mudah menerima kesan buruk daripada kesemua jenis makanan terproses tinggi.

Jika pola pemakanan mereka tidak diperbaiki, dibimbangi ia akan memberi kesan jangka masa panjang yang lebih teruk sebelum mereka dewasa.

 

Adakah anak kita mengalami ketagihan makanan?

Bagi mengupas persoalan ini, Dr. Gearhardt dari University of Michigan telah membina soal selidik untuk dijawab oleh ibu bapa atau penjaga kana-kanak. Makanan yang dimaksudkan di dalam kajian dipecahkan kepada 5 kategori:

  • Makanan bergula tinggi: gula-gula, aiskrim, coklat, biskut, kek, donut dan muffin
  • Karbohidrat ringkas: roti putih, pasta, nasi putih
  • Snek tinggi garam: kerepek, keropok, jajan
  • Makanan berlemak tinggi: kentang goreng, burger, pizza, hotdog
  • Air manis berperisa: air tin, jus kotak, susu kotak berperisa, milkshake, smoothies

 

Berikut adalah soalan yang perlu dijawab:
  1. Adakah anak anda sukar untuk berhenti makan?
  2. Apabila anak tidak dapat makanan yang dimahukan, dia akan cuba dapatkannya walau dengan apa cara sekalipun (menjerit, menangis, meminta daripada orang lain, beli sendiri di kedai).
  3. Adakah mood anak anda berubah bila tidak dapat makan makanan kesukaannya?
  4. Adakah anak anda makan terlalu banyak sehingga tidak dapat melakukan aktiviti lain yang disukainya?
  5. Adakah anak anda berasa sedih dengan gaya pemakanannya?
  6. Adakah gaya pemakanan anak anda menyebabkan beliau bermasalah (masalah di sekolah, masalah dengan anda, masalah dengan kawan-kawan)
  7. Adakah anak anda tidak mampu berhenti makan sedangkan beliau ingin berhenti makan?
  8. Anak anda tetap kekal dengan gaya pemakanan yang sama walaupun ia menyebabkan masalah pada dirinya.
  9. Anak anda perlu makan dengan banyak barulah dia berasa gembira.

Anda mungkin juga pernah tertanya, Kenapa Anak Susah Berkongsi? Kan?

 

Ketagihan Makanan: Cara Mengatasi

Jika anak anda mengalami beberapa simptom di atas, anda mungkin ingin membuat beberapa perubahan terhadap gaya pemakanan anak-anak seperti berikut:

 

1. Kurangkan makanan proses dan bergula tinggi secara berperingkat

Jika sebelum ini anak telah biasa makan burger, keropok, biskut, coklat dan aiskrim setiap hari, kurangkan kekerapan pengambilan makanan tersebut secara perlahan-lahan.

Sebagai contoh, daripada 7 hari, anda kurangkan menjadi 5 hari. Pada waktu kebiasaan anak-anak makan makanan tersebut, ajak anak melakukan aktiviti lain bersama-sama.

Ketagihan Manisan Pada Kanak-kanak Tidak Selamat

Ini adalah untuk mengalihkan perhatiannya terhadap makanan yang kurang berkhasiat. Kebiasaannya, apabila seronok bermain, anak akan ‘terlupa’ sekejap untuk makan.

2. Tukarkan kepada pilihan makanan yang lebih sihat

Jadikan makanan yang tinggi khasiat sebagai ganti kepada makanan rapu dalam hidangan anak. Pelbagaikan snek sihat untuk kudapan anak.

Tukarkan makanan frozen seperti nugget, sosej dan bebola daging yang tinggi dengan MSG dan perisa tiruan kepada homemade frozen food.

Ketagihan Manisan Pada Kanak-kanak Kecik

Gantikan sarapan cereal yang tinggi gula kepada waffle atau lempeng homemade dengan buah-buahan dan segelas susu segar.

3. Jaga waktu makan

Pastikan waktu makan anak dijaga dengan baik agar mereka tidak terlalu lapar. Fenomena terlalu lapar akan menyebabkan mereka makan dengan terlalu banyak pada satu-satu masa.

Ketagihan Manisan Pada Kanak-kanak Sihat

Waktu snacking pula biasakan anak-anak dengan buahan-buahan dan manisan yang baik untuk otak seperti kekacang dan dark chocolate.

4. Bawa bekal ke taska dan sekolah

Kebanyakan kantin sekolah menjual makanan yang kurang berkhasiat dan air berperisa yang tinggi gula.

Menyediakan air putih, bekal atau bento dapat menghindarkan anak-anak daripada membeli makanan rapu sekaligus mendidik mereka untuk berjimat dengan wang saku yang diberikan oleh ibu bapa.

5. Beriadah bersama

Bawa anak-anak bermain dan melakukan aktiviti fizikal yang dapat mengeluarkan peluh. Sesekali boleh juga ajak mereka menyertai aktiviti ‘fun run’ yang dianjurkan di kawasan anda.

Aktiviti-aktiviti seperti ini sangat penting untuk melatih skil motor kasar bagi perkembangan fizikal serta mental anak-anak. Bersenam juga boleh merangsang pengeluaran hormon serotonin, adrenaline, dopamine dan endorphin.

Ketagihan Manisan Pada Kanak-kanak Remaja

Gabungan kesemua hormon ini akan memberikan kegembiraan dan ketenangan pada anak-anak sekaligus dapat memperbaiki selera makan mereka ke tahap yang lebih baik.

Di samping itu, ia dapat mengeratkan bonding antara setiap ahli keluarga.

6. Educate anak tanpa jemu

Nyatakan pada anak bahawa anda ingin mereka membesar dengan sihat. Bila sihat, nak buat apa pun senang.

Tunjukkan pada mereka gambar kanak-kanak lain yang seusia dengan mereka tetapi mempunyai penyakit seperti obesiti dan kencing manis.

Visualization melalui gambar dan video membantu anak-anak memahami mesej anda dengan lebih mudah.

 

Jom! Kita ubah corak pemakanan anak kita sebelum terlambat.

 

Beri anak kita makan makanan bernutrisi.

Galakkan mereka agar menyukai makanan semulajadi.

Beri peluang tubuh badan mereka merasai kenikmatan makanan berkhasiat.

Kembalikan fungsi asal makanan iaitu menjadi sumber bekalan tenaga untuk anak kita membesar dengan sihat.

 

Rujukan:

  1. Cane Sugar Refining with Ion Exchange Resins. https://www.purolite.com/dam/jcr:63051262-4c53-4271-a619-370360ab87ce/Cane%20Sugar%20_10%2027%202017.pdf
  2. James J. DiNicolantonio, James H. O’Keefe & William L. Wilson. (2017). Sugar Addiction: Is It Real? A Narrative Review, British Journal of Sports Medicine, 52(14) DOI: 10.1136/bjsports-2017-097971 https://www.researchgate.net/profile/James_Dinicolantonio/publication/319266735_Sugar_addiction_Is_it_real_A_narrative_review/links/59a0099045851508f105a3b2/Sugar-addiction-Is-it-real-A-narrative-review.pdf
  1. Ashley N. Gearhardt, Christina A. Roberto, Marissa J. Seamans, William R. Corbin, Kelly D. Brownell. (2013). Eating Behaviours, Eating Behaviours 14, 508 – 512 Preliminary Validation of the Yale Food Addiction Scale for Children https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S147101531300072X
  2. Burrows & A. Meule. (2015). ‘Food addiction’. What happens in childhood? Appetite 89, 298 – 300. https://doi.org/10.1016/j.appet.2014.12.209
  3. R. Ifland, H.G. Preuss, M.T. Marcus, K.M. Rourke, W.C. Taylor, K. Burau, W.S. Jacobs, W. Kadish, G. Manso. (2009). Refined food addiction: A classic substance use disorder, Medical Hypotheses 72, 518–526. DOI:10.1016/j.mehy.2008.11.035 https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19223127

 

Share This