Membaca adalah kemahiran tinggi untuk kanak-kanak di bawah usia 7 tahun. Walaubagaimanapun, ramai ibu bapa tidak tahu cara yang terbaik untuk mula mengajar membaca.

“Anak i umur dah 5 tahun. Baca pon tak boleh lagi. Risau nanti ketinggalan. I ajar tak mau la. Tak fokus. Asyik lari-lari, asyik lompat-lompat! Macam mana nak buat?”

Tenang ibu -ibu. Anak bawah 5 tahun tak fokus bukan salah mereka. Tapi salah kita punya cara. Fitrah anak kan suka bermain. Dan bermain sangat penting untuk membina fungsi tubuhnya. Namun, sampai di satu tahap iaitu umur pra sekolah, membaca akan jadi keperluan asas untuk kuasai pelajaran lain.

Bagaimana nak penuhi keperluan sistem pembelajaran dalam masa yang sama memenuhi fitrah bermain anak bawah 6 tahun ni?

Caranya, belajarlah dengan cara bermain. Semua kanak-kanak bermula sebagai Kinesthetic Learner.
Apa ciri-ciri Kinesthetic Learner?

  • Tempoh fokus tak lama,
  • tidak selesa belajar sambil duduk,
  • perlu bergerak ketika belajar,
  • dan perlu menggunakan alatan yang melibatkan koordinasi tangan dan badan serta stimulasi deria lain.

Namun kebanyakan anak boleh dibina dan dipertajam kemahiran mereka untuk menjadi Visual Learner atau Audio Learner.

Semasa bermain, anak perlu kuasai kemahiran kognitif, sensori, motor dan emosi. Its not just play, but educational play. Sekiranya anak tidak kuasai keempat-empat keperluan ni, dikhuatiri bila masuk usia 7 tahun ke atas, anak masih bergantung kepada kaedah pembelajaran kinestetik, yang mana ia selalunya memeningkan kepala guru sebab tak bersesuaian dengan sistem pembelajaran formal.

.

FASA 1 : FASA MENGECAM BENTUK

Sebagai mana kita melihat alien buat pertama kali, anak-anak juga terasa asing melihat bentuk-bentuk huruf. Mulakan dengan membiasakan anak dengan latihan pengecaman bentuk dan persepsi visual.

Contoh latihan adalah memadankan imej binatang dengan siluet bayangannya. Pada peringkat permulaan, mulakan dengan bentuk-bentuk mudah dan tidak terlampau terikat dengan buku. Ibu ayah boleh cuba memotong beberapa kertas berwarna atau felt pelbagai warna dengan bentuk asas untuk anak-anak padankan.

Perlu diingat bahawa, fasa ini fasa yang perlu anak-anak lalui secara bermain kerana sifat kinestetik mereka masih kuat. Terutamanya yang berusia 4 tahun ke bawah. Lebih banyak deria yang terlibat semasa pembelajaran, lagi baik!

 

FASA 2 : FASA KENAL HURUF

Selepas kemahiran persepsi visual anak mulai tajam, mulakan dengan memperkenalkan huruf dengan menyebut bunyinya. Ibu bapa/ guru digalakkan untuk menggunakan kaedah fonik supaya lebih mudah di peringkat membaca nanti.

Sebagaimana fasa yang pertama, fasa ini juga digalakkan untuk guna deria badannya, terutama sekali deria sentuhan, memandangkan ia berkait rapat dengan fasa menulis.

Pada waktu ini juga, sebaiknya, tackle minat belajar anak mengikut permainan yang mereka biasa main. Sebagai contoh : Ammar minat kereta.
Jadi dulu saya adaptasi minatnya untuk buat permainan ‘parking di petak huruf yang disebut’ seperti contoh dalam gambar.

Kredit : https://www.kiwico.com

Manakala Aqlan minat dinosaur. Jadi saya sediakan dinasour kotak dengan mulut ternganga, dan cipta apa sahaja permainan darinya. Baling kad huruf yang sama seperti yang tertera di muka dinasour atau menyuapkan kad huruf yang diminta.

Aktiviti lain yang dicadangkan:
– Cari huruf dalam beras/ pasir
– Tulis huruf atas lantai dan lompat pada huruf yang disebut
– ‘Trace’ huruf atas pasir/ garam
– Match huruf besar dan huruf kecil

.
FASA 3 : FASA MENGGABUNGKAN HURUF.

Ramai ibu ayah yang mengeluh sebab tak biasa dengan kaedah fonik. Jangan risau. Asasnya mudah sahaja. Ambil masa 10 minit tonton video ‘Abu Ada Ayam’ kat Youtube, ibu ayah terus mampu kuasai. Susunan yang disarankan adalah susunan sebagaimana pakej buku membaca yang sedia ada di pasaran.

Terdapat pelbagai jenis alat bantuan mengajar sedia ada di pasaran seperti Roda pintar dan flip chart yang bersifat ‘mainan’.
.

FASA 4 : GABUNGKAN LATIHAN MEMBACA & MENULIS

Dengan melatih membaca sambil menulis, ia bukan sahaja membantu memperkuatkan otot jari supaya lebih mudah menulis kelak. Tetapi juga untuk memperkukuhkan latihan membaca.

.

FASA 5 : RUTIN

Latihan membaca harus dijadikan rutin sehingga anak lancar membaca. Jika tidak, kemahiran membaca anak akan kembali ke fasa sebelumnya. Galakkan membaca bersama dan jadikan ia rutin sebelum tidur selama 10 minit. Ibu bapa juga digalakkan membeli buku-buku cerita dengan ejaan yang mudah dan menarik.


.

“Boleh tak anak terus melompat ke Fasa 3, iaitu terus guna buku?”
Jawapannya boleh. Cuma mendidik dengan melawan fitrah lebih meletihkan guru dan memberi kesan terhadap self esteem anak yang tipikal. Bukan itu saja, anak juga dikhuatiri mengalami masalah perkembangan yang lain. Bukan dari segi penguasaan kemahiran membaca, tetapi dari segi penguasaan deria mereka.
.

Jangan risau anak bermula dengan bacaan yang merangkak, kerana otaknya belum bekerja secara automatik untuk membaca.
Tapi dengan latihan yang berterusan, anak akan lancar dan semakin cekap membaca. Apa yang penting, ibu ayah perlu bantu anak untuk kuasai pelajaran, tidak semata-mata meletakkan tanggungjawab itu pada guru semata-mata.

 

Share This