Baju ayah ditarik-tarik. Mata si bongsu tepat pandang muka ayah. Telunjuknya dihala ke arah dapur.

Hmm… muka tu. Faham sangat ayah bila si bongsu buat muka kiut macam tu, dah tentu cubaan bodek nak susu.

Ayah capai botol susu. 2-3 cedok susu dituang ke dalam botol, dibancuh kemudian diserah pada si bongsu. Anaknya yang berusia hampir 3 tahun sengih menyambut botol dan berlalu pergi.

Begitulah gaya si bongsu setiap kali mahukan sesuatu. Mulutnya jarang keluar suara. Hari tu ditegur kawan, katanya anak aku ni ada tanda-tanda speech delay. Tak mungkin! Sebab kadang-kadang aku dengar juga dia tersebut perkataan macam dia dengar dari Youtube; ‘Let’s go!’, ‘Okey’.

Kadang-kadang gerammm rasa! Bila diajar sebut, dia sengih saja.

‘Positif ajelah. Tak ada apa-apa kot. Nanti dah masuk sekolah, ok lah tu.’
Fikir si ayah tanpa menyedari anaknya menghadapi masalah bahasa dan pertuturan yang tak boleh diambil mudah.

 

 

LEWAT BERTUTUR?

Speech delay, languange & speech delay atau kelewatan bertutur adalah masalah yang sangat sinonim dalam masyarakat kita pada hari ini. Pergilah ceruk mana pun, di kampung atau di bandar, masalah ni tak mengecualikan mana-mana kelompok ibu bapa.

Tindakan yang terbaik bila menyentuh isu perkembangan anak-anak, jadikanlah ‘speech therapist (ST)/ occupational therapist (OT)’ sebagai tempat merujuk. Bukan membandingkan diri anak kita dengan anak-anak jiran atau terikut dengan trend semasa.

Tengok anak orang cepat bercakap, kita pula yang tertekan.

Tak terkejar sayang, kalau terlalu mengikut orang. Lebih baik kita cetak carta perkembangan, tampal di dinding dan rujuk saja perkembangan anak di situ. Kalau ada kelewatan perkembangan, cepat-cepat dapatkan saringan pada ST dan OT. Dikhuatiri masalah lewat bertutur itu adalah indikasi kepada masalah perkembangan yang lain.

Sebab lain kelewatan pertuturan adalah:
1. Mengalami masalah neurologi sewaktu kelahiran pramatang.
2. Autism, Sindrom Down dan sebagainya.
3. Masalah fizikal dan oral motor seperti lidah pendek, masalah rahang, sumbing
4. Masalah pendengaran.
5. Kurang ransangan bermain dan berinteraksi.
6. Kurang perhatian dari penjaga dan pendedahan tv dan gadget yang berlebihan.

­­­­­
Jika kita merujuk masalah pertuturan anak kepada pakar terapi, percayalah… perkara pertama yang para terapis minta kita lakukan kepada anak adalah mengasingkan anak dengan gadget.

“Tapi anak saya pandai ABC dan 123 melalui gadget. Belajar English pon dari Youtube.”
Adakah itu sudah memadai, sekiranya nak minta mak buatkan susu pun mereka masih sekadar menghulur botol?

Bila ditanya “Abang pergi mana hari ini?” mampu tak anak bercerita ikut kesesuaian soalan? Atau jawapannya meleret ke watak kartun atau mainan kegemaran?

“Tapi nanti anak saya ketinggalan pula di zaman teknologi ni.”
Penguasaan anak terhadap teknologi bukan lagi penting kalau anak ketinggalan dari segi akademik.

Penguasaan akademik yang dimaksudkan bukanlah semata-mata mencapai gred A dalam semua subjek.

Tetapi ia termasuk kemampuan anak (usia 5 tahun) untuk memberi respon yang sesuai kepada guru dan kawan-kawan, mampu menumpukan perhatian, mampu ikut peraturan, mampu mengurus diri dan mampu melakukan tugas-tugas di dalam kelas seperti menulis, menggunting.

PIRAMID PERTUTURAN DAN BAHASA

Kemahiran bertutur ni pun ada tahap atau peringkatnya. Cuba rujuk Piramid Pertuturan ni. Piramid ini akan bantu kita lebih memahami proses pertuturan, bermula dari peringkat bawah, iaitu ‘interaksi’, kepada peringkat paling atas iaitu ‘membunyikan pertuturan’.

 

­­­­

Untuk lebih mudah nak faham, jom kita ikuti proses-proses yang WAJIB DILALUI ANAK kalau nak mula bercakap.

Tahap 1 : INTERAKSI

Interaksi boleh berlaku dalam banyak cara. Ia bermula dari peringkat bayi. Mendekati orang, menggunakan isyarat tangan, ekspresi muka, menghulurkan tangan, menarik tangan orang, menunjuk dengan jari telunjuk, memberi gambar, mengeluarkan bunyi adalah contoh interaksi bagi anak yang belum boleh bercakap.

Jadi, bila nampak anak mula menunjukkan reaksi di atas, cepat-cepat beri respon percakapan.

“Eh, bayi besar tu pun kena ajak bercakap? Bukan dia faham pun!”

Ya, anak memang tidak faham. Tapi mereka sedia merekod perkataan-perkataan yang kita sebut untuk mereka guna bila dah bersedia bercakap nanti.

Ambil kesempatan tersebut untuk membina hubungan mata (eye-contact), menggunakan mimik muka dan intonasi yang pelbagai.

Menangis pun salah satu cara bayi berinteraksi. Sekitar 2 bulan, mereka dah mula senyum bila nampak kelibat kita. Pandangan mata mereka bukan main bercahaya seolah minta kita agah. Bila mereka gembira diagah, keluarlah bunyi suara dia yang mencairkan hati. Alahai…

Ibu juga boleh cuba mengagah bayi dan lihat responnya. Agah-tunggu respon-agah-tunggu respon. Proses agah dan respon yang berulang-ulang ini membantu bayi mengenal ’cause and effect’ dalam interaksi.

Jadi tak perlu acah-acah comel nak bercakap pelat dengan anak ya. Otak mereka sedang merekod. Sayang kalau dia rekod sebutan yang tak betul. Dah elok-elok anak tiada masalah oral motor, lidah pun elok, tapi sebab kita saja cakap pelat, langsung anak pun pelat.

.

Tahap 2 : MENDENGAR DAN MEMBERI TUMPUAN

“Mana jam?”
“Mana ayah?”
“Wah! Buah. Mana buah epal?”.

Sambil kita tanya, sambil kita tunjuk. Jadi anak belajar memberi tumpuan.

Banyakkan bermain atau melakukan aktiviti dengan anak. Lihat berapa lama anak anda boleh ‘bertahan’ melakukan aktiviti tersebut. Contohnya bermain puzzle haiwan atau semudah memasukkan barangan dalam kotak.

Bermainlah dengan nada dan intonasi yang menarik serta ekspresi wajah yang sangat ‘fun’.  Makin fun, makin tinggi daya tumpuan anak dilatih.

Jangan lupa hadiahkan pujian

“Good job, you did it!” setelah anak anda selesai melakukan aktiviti.

.

Tahap 3: BERMAIN

Inilah tahap paling emas untuk anak, dari saat dia sudah mampu menguasai tahap 1, sampai usianya 3 tahun. Main, main dan main sebanyak-banyaknya dengan anak.

Apa jua jenis komponen bermain, yang penting ia haruslah berfungsi membangunkan kemahiran anak-anak seperti kemahiran motor halus, motor kasar, menstimulasikan ketujuh-tujuh deria (pendengaran, penglihatan, rasa, sentuhan, bau, deria keseimbangan dan deria sendi), skil urus diri, skil bahasa & komunikasi serta meningkatkan keyakinan diri.

.

TAHAP 4 : MEMAHAMI

 

Anak perlu mendengar 11 juta perkataan dari penjaga/ ibu bapa setiap tahun,
untuk otak mereka merekod, memahami dan mengguna lebih kurang 1000- 2000 perkataan.

Sebelum anak mula bercakap, anak perlu FAHAM  percakapan orang. Nak tau anak faham ke tidak, boleh cuba uji kefahaman anak dengan meminta dia mengambil barang atau arahkan dia berdiri/ duduk, masuk bilik, menari dan membuat mimik muka yang pelbagai.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh memberikan arahan mudah seperti

“Ambik bedak”,

“Buang pampers dalam tong sampah”,

“Basuh tangan, lap tangan”

Kemudian, TUNGGU respon anak. Jika anak memberi respon dengan mengikut arahan yang diberikan, puji anak secara spesifik, “Bagus abang dengar”.

Waktu inilah kita ajarkan anak dengan ‘vocab’ asas seperti objek, warna, bentuk, nama tempat, preposisi (atas, bawah, depan, belakang, dalam luar) dan juga penggunaan ‘tapi, sebab, kalau’.
.

TAHAP 5 : BERCAKAP


Inilah tahap yang paling kita tunggu-tunggukan pada anak selain dari pandai berjalan. Maunya tidak, selagi anak belum boleh bercakap, terpaksa tahan telinga dengar mulut makcik bawang menyoal perihal anak kita.

  1. 0-6 BULAN :
    – Mula mengeluarkan bunyi seperti “aaa…”
    – Memberi respon bila mendengar bunyi di sekeliling sebagai contoh, menoleh bila dengar bunyi orang petik jari di telinganya.
  2. 7-11 bulan.
    – Menyebut perkataan ringkas seperti dada, bubu, papa, susu, mama walaupun dengan pelat.
    – Mengajuk suara haiwan atau bunyi kereta.
    – Memahami arahan mudah seperti ‘bye bye’, salam, cium pipi, ‘flying kiss’, ambil barang dan sebagainya.
  3. 1 tahun
    – Menuturkan 10-25 perkataan bermakna (walaupun 1 suku kata atau pelat) seperti ‘nak, num (minum), kan (makan) dan sebagainya.
    – Mengenali nama ahli keluarga seperti ayah, mama, abang, adik, atok.
  4. 2 tahun
    – Menuturkan sekurang-kurangnya 50 perkataan
    – Menggabungkan 2-3 perkataan jadi satu ayat seperti “Nak susu”, “Nak ikut mama”, “Ayah kerja” dan sebagainya.
    – Mengikut arahan tanpa bantuan seperti ‘Ambilkan remote tv ‘, Jom tv’, ‘Tutup tv’ dan sebagainya.
  5. 3 tahun
    -Menggabungkan 3-4 perkataan jadi satu ayat.
    -Boleh bercerita tentang peristiwa seperti “Tadi adik nangis. Nak ikut mama. Mama tak nak bawa.”
    – Mula memahami soalan ‘kenapa, apa, siapa, bagaimana’.
  6. 4 tahun
    – Sudah petah berkata-kata
    – Pandai menggunakan kata hubung seperti ‘sebab’, ‘lagipun’, ‘dengan’, ‘lepas tu’.
    – Boleh bercerita panjang, seperti “Tadi abang pergi taman dengan ayah’.
    – Memahami fungsi objek seperti kipas perlu dibuka bila hari panas, kain lap untuk lap air tumpah, guna straw untuk sedut minum dan sebagainya.
  7. 5 tahun
    – Bertutur lebih dari 5 perkataan satu ayat.
    – Bertutur seperti orang dewasa
    – Boleha faham arahan kompleks seperti “Balik nant terus masuk bilik air, mandi, kemudian kita makan.”Ada anak yang mengikut carta perkembangan dengan baik. Ada juga yang lewat sedikit. Tetapi sekiranya tidak mencapai standard pertuturan minimum seperti  boleh menyebut perkataan waktu umur 1 tahun, 2 perkataan 2 tahun, 3 perkataan pada usia 3 tahun, cepat-cepat bawa anak rujuk pakar untuk jalani saringan.

    CARA STIMULASI BAHASA DAN PERTUTURAN.

    1. Mulakan dengan meransang deria rasa. Ini kerana deria tersebut berkait dengan oral motor yang merupakan otot penting dalam menghasilkan sebutan yang baik. Caranya adalah dengan memberi makanan pelbagai rasa, tekstur dan suhu. Sebagai contoh, makanan liat seperti daging, makanan keras seperti lobak, makanan rangup seperti biskut dan cereal, makanan keras seperti kacang, masam seperti lemon dan sejuk seperti ais.

    Selain itu, boleh cuba berikan anak dadih yang disedut menggunakan straw.


    2. Banyakkan aktiviti meniup seperti meniup buih, meniup warna air, meniup kertas, meniup wisel dan sebagainya. Aktiviti ini dan aktiviti nombor 1 turut boleh digunakan untuk mengatasi tabiat mengigit/ menghisap jari dan objek.3. Membacakan buku cerita atau melakonkan alat permainannya jadi watak dalam satu cerita pendek.
    4. Lakukan ransangan bahasa. Antara contohnya:

    Ransangan Bahasa 1 : Bantu cakap bagi pihak anak. Bila anak duduk dan makan, sebutkan “Abang duduk. Abang nak makan.”

    Ransangan Bahasa 2 : Respon perlakuannya, sebagai contoh bila anak habis makan, sebutkan, “Adik habis makan. Tak ada nasi. Nasi habis.”

    Ransangan Bahasa 3 : Letakkan mainan anak di tempat yang sukar dicapainya. Ini untuk menggalakkan anak meminta kepada kita. Bila anak meminta dengan cara mencuit atau menarik baju kita, ajar dan galakkan anak meminta secara verbal.

    5. Membuat kerja rumah bersama-sama anak sambil berinteraksi dengan mereka.

    6. Main dan buatlah aktiviti bersama-sama anak untuk bina komunikasi bersama.

    7. Pasang lagu kanak-kanak dan minta anak ikut menari bersama anda.

    8. Sewaktu berkomunikasi dengan anak, lakukan kontak mata, hadkan gangguan (contohnya tutup tv), pelbagaikan intonasi suara, buat ekspresi muka secara berlebihan dan nantikan respon dari anak.

    Sekiranya anak tak beri respon, modelkan respon yang sepatutnya atau cuba bantuan orang lain untuk lakonkan respon tersebut. Puji setiap kali anak memberi respon.

 

Pertuturan adalah asas kemahiran komunikasi yang perlu anak kuasai sebelum mula bersekolah. Melalui aktiviti yang dicadangkan pakar terapi, aktiviti tersebut bukan sahaja akan bantu anak membina kemahiran bertutur, tetapi juga mampu membina kemahiran pra-akademik yang lain.

Kemahiran pra-akademik yang dimaksudkan adalah menulis pensil dengan baik, boleh mengira sehingga 100, mengenali huruf, warna dan bentuk, pandai berkawan, pandai mengambil giliran, mampu mengawal emosi sendiri, dan mampu mengurus diri.

Untuk mencapai kemahiran ini, mahu tak mahu, sibuk atau tidak, ibu bapa perlu menjadikan rumah sebagai sekolah pertama anak. Cara yang terbaik, mulakan homeschooling di rumah sebelum anak mula masuk tadika atau sekolah yang sebenar.

Artikel telah disahkan oleh Terapis Pertuturan Bahasa dari Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas KPM.

Share This