Bagaimana nak menyuruh anak mengemas dengan cara yang mudah? Biasa tak bila suruh anak-anak bawah 4 tahun kemas mainan mereka jawab begini?

“Alaa… abang PENAT.” kata anak dengan mata kuyu dan mulut yang sengaja dijuih.

Padahal sebelum tu kemain cergas bertenaga. Bila suruh mengemas, tiba-tiba badan bongkok. Nafas tercungap. Macam budak baru habiskan marathon di bulan puasa.

Geram kan! Padahal sebelum main dah berjanji siap angkat tangan & kait jari kelingking dengan kita. Rasa nak picit-picit muka yang sengaja dibuat-buat penat tu.

Tarik nafas ibu, ayah. Usia 4 tahun ni mereka masih di fasa untuk bermain dan bergembira sahaja. Pemikiran mereka masih bersih dan jiwa mereka sentiasa bahagia. Segalanya yang ada di sekeliling, dilihat berpotensi menjadi permainan.

Kadang-kadang suruh makan pon, dia boleh buat nasi tu jadi playdoh! Kalau bagi seketul ikan, ikan tu yang kembong disuap nasi oleh si anak.

Nak buat macam mana. Manusia berhati bahagia. Kita pulak yang terkadang sakit jiwa menganalisa perbuatan mereka.

Bila mereka didesak buat sesuatu perkara yang dianggap tak menyeronokkan, tak mungkin mereka dapat buat dengan rela hati. Pada fasa ini, mak dan ayah tak ada cara lain selain berusaha jadi kreatif bila nak menyuruh.

Cuba masuk dalam dunia anak-anak. Dunia mereka penuh bahagia dan kaya imaginasi. Dominasi kreativiti mereka dengan kreativiti kita.

Gambar ni adalah gambar minggu lepas. Macam biasalah. Bila diminta untuk mengemas, mesti keluar alasan ’penat’. Padahal sebelum tu bukan main merayu, berjanji akan kemas balik.

Terpaksalah saya menggunakan sedikit sisa imaginasi dalam otak tua ni.
“Ammar, Aqlan. Ikan yang bersepah diluar tu dah tangkap ke belum? Cepat tangkap, mama nak buat masak gulai ni.”

Sengaja mengandaikan mainan tu ‘ikan’. Arahan saya disambut gelak anak-anak.

“Apalah mama. Ini mainan bukan ikan.” Jawab mereka tapi terus berlari mengutip ‘ikan’ masuk dalam bakul mainan.

Fuh, lega! Less effort, just need to be more creative.
Walaupun ideanya tidak cukup bagus, tapi sudah cukup untuk cetuskan imaginasi dan rasa gembira anak-anak.

Bagaimana nak minta anak susun semula bantal?
‘Menara’ bantal di dalam bilik kami memang selalu dijadikan senjata untuk anak-anak main perang. Sekali-sekala, saya join anak jadi komando.

Kalau saya datang tiba-tiba mengaum sebagai mak singa, kan dah tak relevan dalam cerita anak. Kalau saya habiskan tenaga mengaum lagi, sudah pasti saya tidak dilayan. Cara yang lebih adalah saya menyusup masuk macam komando dan berlagak macam masuk ke dalam cerita anak. Apabila anak mula mengikut, saya ajak mereka susun bantal menjadi kubu.

Bagaimana nak mudah suap anak makan?
bayangkan anak sedang aktif berlari-lari, tapi sudah tiba waktu untuk mereka makan. Allahu, meraung rasa nak memanggil minta mereka datang dekat. Setiap suapan, perlu diseru nama berkali-kali.

Cubalah cara ini. Aggap mereka ini kereta lumba. Pesan bahawa bila minyak, iaitu nasi di dalam mulut habis, mereka perlu isi minyak semula.

Kalau nampak mereka berhenti mengunyah, tetapi masih terus berlari, panggil sahaja dengan perkataan “Isi minyak!”
Dah pasti masing-masing berlumba nak isi minyak dahulu.

Bagaimana pula nak menyuruh anak kutip mainan semula?
Selain cara mengambil penyapu dan penyodok untuk sapu mainan mereka, boleh cuba cara yang lebih melibatkan imaginasi anak-anak.

Kalau nak menyuruh kutip pensil warna contohnya, jadikan bekas menyimpan warna itu sebagai senapang. Gunakan ia untuk berlakon sedang menembak musuh. Bila anak mula terlibat, minta anak isikan pensil warna yang bersepah sebagai peluru.

Perlu diingat, walaupun pensil tersebut dijadikan peluru, tak perlulah tembak ia kembali keluar dari bekas pensil. Berpada-padalah berkreatif. Nanti tak pasal-pasal menambah penat.

Susah? Ya pada awalnya.
Syaratnya, make it fun.

Cara ini dilihat sukar untuk diguna. Almaklumlah, jiwa perlu tenang. Fikiran perlu lapang. Jika tidak, bagaimana nak jana idea untuk menyuruh.

Cara ini mungkin memerlukan tingkat kesabaran dan daya kreativiti yang lebih tinggi. Tapi ia cara yang lebih menenangkan hati dan menjimatkan kuota bilangan patah perkataan sehari.

Ia boleh jadi detik indah kita dan anak yang kekal jadi memori. 20 tahun lagi bila mereka jauh dari sisi, pasti kita orang pertama yang anak ingati.

Baca Cara Menyuruh Anak di sini.

 

Share This