Sedang si ibu sibuk memasak, tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara anak bersembang di dalam bilik depan. Gayanya macam ada kawan yang menemani. Sembangnya kencang bukan main.

‘Aik, setahu aku, dalam rumah ni ada aku dengan dia je. Ah sudah! Dengan siapa pulak dia sembang beria-ria tu!”

Ini bukan kisah seram! Ini kisah anak-anak yang sedang membina ruang imaginasi dan kreativiti sendiri. Anak 3 tahun kalau bercakap sorang-sorang macam tu normal! Tak perlu kalut usung anak jumpa ustaz minta ruqyah. Silap-silap kena jadi bahan gelak berjemaah dengan ustaz-ustaz yang lain.

Main cakap sorang-sorang atau berangan-rangan ni adalah salah satu cabang kemahiran kognitif. Ya… Kemahiran kognitif. Kemahiran mengenalpasti bentuk asas, mengasingkan warna, dan memadankan gambar tu la. Jadi lepas ni jangan sedih sangat kalau anak 3 tahun belum kenal ABC 123 macam anak instafamous tu. Senyum dan berbanggalah anak kita dah pandai berangan.

Eh hebat tau! Anak boleh main acah-acah bercakap dengan watak yang tidak wujud di depan mata. Siap boleh susun sipnosis cerita sendiri. Dinosaur telefon robot Transformers ajak Elsa minum kopi sebab nak membawang pasal Pinky Pie yang baru clash dengan Iron Man. Fuh lain macam muafakat dia! Dalam dunia realiti filem pun mustahil dapat gabung macam tu tau!

 

Bermula usia 18 dan 24 bulan, anak akan mula main ‘pura-pura’ (pretend play) dengan mengajuk perbuatan orang di sekelilingnya. Acah-acah cakap dalam telefon, acah pakai mekap, berjalan dengan kasut tumit tinggi, acah-acah memasak dan lain-lain. Apa yang penjaganya buat, mereka akan tiru!

 

Kemudian di usia 2-3 tahun, anak-anak akan mula menggunakan permainannya untuk dilakonkan. Yang minat kereta akan bermain jalan-jalan dan langgar kereta lain. Yang minat dinosaur akan main gigit-gigit kawan dinosaur yang lain. Yang minat Superhero akan main lawan-lawan. Pada waktu ini, mak ayah akan terhibur mendengar dialog yang direka anak. Bersungguh-sungguh sampai tersembur air liur bertutur watak macam dalam cerita kartun.
Makin bertambah kosa kata, makin hebat dramanya! Itu belum lagi cerita pasal aksi! Fuh, mak ayah pun boleh terpengaruh nak berlakon sekali!

 

Sampai usia 4 tahun, anak dah boleh mereka cerita sendiri. Siap panggil kawan lain join berlakon dalam cerita dia. Waktu tu bersedialah ya kalau anak minta kita main watak pelik-pelik. Layankan aje! Hadir dalam imaginasi mereka dan bina ‘kisah epik’ bersama-sama.

Kadang-kadang kan, kalau anak main sorang-sorang tu, dialog dia macam biasa je kita dengar. Tak percaya, cuba pasang telinga. Dengar bebelan anak elok-elok. Bunyiknya lebih kurang sama macam lenggok bebelan kita.

Almaklumlah! Anak itu refleksi ibu bapanya. Dari tingkah laku dan percakapan anak, kita dapat nilai kualiti kita sebagai ibu bapa.
Sejuk hati, lebar senyum kalau dialog yang didengar dari mulut anak tu lembut bicaranya.
“Jom kita main bersama!”
“Takpe, abang tak marah. Awak kan tak sengaja.”
“Awak suka mainan saya? Nah saya bagi pinjam.”

Tapi, kalau ayat yang kita dengar macam ni,
“Woi!”
“Pegi la sana! Sibuk je!”
“Lu langsi lumati”
“Abang tak abang, sapa kacau aku pecah”,
segeralah niat tunaikan solat taubat. Nampaknya kita kena lebih santun dalam berbahasa.

Siaran tv pun perlu lebih teliti untuk kita pilih. Keluar je kisah gangster,  tutup tv laju-laju.

Bagaimana nak bantu anak kembangkan daya imaginasi?


1. Bermain. Bermain. Bermain. Kraf. Kraf. Kraf. Gunakan peralatan bukan mainan seperti kotak untuk mencipta permainan. Dari kotak boleh membentuk sayap mainan, kereta, rumah dan pelbagai lagi. Senduk di dapur boleh menjadi senapang. Tudung saji boleh jadi jaring tangkap ikan. Kusyen bantal boleh dijadikan kota istana dan pelbagai barang-barang boleh dieksperimentasi untuk disesuaikan dengan ‘drama’ yang anak lakonkan.

2. Ransang daya imaginasi mereka dengan membacakan buku kanak-kanak. Sekarang ni tak susah untuk mencari bahan bacaan yang mengajar nilai akhlak dan akidah. Pusing dalam gedung buku, pasti jumpa banyak yang menarik!

3. Cuba gabung idea dengan anak jadi tukang karut mereka cerita. Lihat bagaimana daya imaginasi anak semakin baik dari hari ke hari. Aktiviti ini amat menarik sebagai ‘boredom buster’ sewaktu di dalam kereta ke destinasi yang memakan masa.

4. Belikan buku-buku interaktif dengan mekanisma dan ilustrasi yang gempak. Buku pop-up, buku berbunyi, buku boleh slide/ flip dan sebagainya. Biar anak ralit membelek, sambil memorinya merakam imej-imej menarik pada buku dan diterjemah melalui lukisan sendiri nanti.

5. ‘Feed the curiosity’. Segala persoalan anak tentang ‘macam mana’, ‘kenapa, ‘siapa’ memang memeningkan kepala untuk dijawab. Nasib baik ada Google dan Youtube. Cepat sikit jumpa jawapan! Dengan jawapan yang lengkap, bukan sekadar persoalan dalam kepala mereka terjawab, malah keinginan mereka meneroka akan bertambah. Imaginasi mereka juga bertumbuh dengan subur.

6. Biarkan anak-anak bosan. Kita selalu risau sangat kalau-kalau anak bosan. Bila tak ada aktiviti, cepat-cepat serah telefon atau bukak tv. Sedangkan tanpanya anak lebih kreatif meneroka. Ya, anak yang kebosanan akan sedaya upaya menggunakan ruang sekeliling mereka untuk meneroka dan berimaginasi.

Budak ni macam sponge you all. Cepat je otak mereka menyerap apa yang dilihat dan didengar. Cantik yang mereka serap, cantik juga yang diterjemah. Begitu juga sebaliknya.

Lepas ni kalau nampak anak cakap sorang-sorang. Biarkan. Nak lebih terhibur, masuk dalam ‘kisah’ anak dan main bersama-sama. Ransang imaginasi mereka sebaiknya. Anak dengan imaginasi yang baik mempunyai kawalan emosi dan daya fikir yang hebat!

 

Share This