Anak suka bergaduh adik-beradik. Perkara biasa yang ibu bapa anak ramai hadapi, bukan?

Saya ada empat orang anak: 7 tahun, 5 tahun, 3 tahun dan 1 tahun 5 bulan. Pernah tak agaknya anak saya bergaduh?

Hui. Magic kalau anak tak pernah bergaduh ni. Lagi-lagi kalau anak kecil.

Memang celik mata hingga tutup mata, rumah saya gamat dengan suara gelak ketawa, tangisan dan jeritan. Kadang-kala bunyi “debuk-prong-prang” pun boleh terdengar bila anak-anak lelaki saya terlebih agresif bila bergurau.

Oh..

Tak kurang juga bunyi teriakan “Mama! Mama!” dan “Ayah! Ayah!” selang beberapa minit.

Sentiasa ada perkara yang hendak adik-beradik itu bincangkan yang kadang-kala perlu menggunakan khidmat “pengadil” dari luar.

Banyak kali juga “perbincangan” mereka berubah menjadi “pergaduhan”.

 

Tahukah anda punca utama anak bergaduh antara adik-beradiknya adalah KERESAHAN?

Anak-anak yang punya adik-beradik ramai berisiko tinggi untuk berasa resah atau anxious. Mereka resah sekiranya barang yang mereka suka diambil oleh adik-beradik yang lain. Anak-anak tidak pandai meluahkan keresahan mereka. Maka, anak-anak ini akan bergaduh.

Mereka resah sekiranya kasih-sayang yang ibu ayah beri pada mereka berkurangan apabila ada adik-beradik lain. Sebab itu kadang-kala ketika ibu sedang mengandung lagi, si abang atau si kakak sudah mula menunjukkan tanda-tanda keresahan.

Mereka resah sekiranya ibu ayah gagal melihat betapa istimewanya mereka berbanding adik-beradik yang lain.

Ada anak tunjukkan keresahan dengan mudah menangis.

Ada anak tunjukkan keresahan dengan mudah mengamuk.

Ada anak tunjukkan keresahan dengan jadi pendiam.

Anak-anak yang resah perlukan assurance. Mereka perlu diyakinkan yang mereka disayangi, istimewa dan ada kelebihan tersendiri.

Anak bergaduh

Anak yang sering bergaduh perlukan ‘assurance’ dari ibu bapa mereka.

Meluangkan masa satu dengan satu bersama anak adalah antara strategi assurance yang baik untuk diamalkan sekiranya anda punya anak lebih dari seorang.

 

Luangkan Masa Personal Satu Dengan Satu Dengan Setiap Seorang Anak.

Pernahkah anda dengar tentang masa kualiti 15 minit?

Masa kualiti 15 minit atau Q-15 adalah cadangan yang biasa saya berikan kepada para pembaca saya serta ibu bapa yang membawa anak mereka berjumpa saya untuk konsultansi perkembangan anak.

Q-15 merujuk kepada luangan masa 15 minit setiap hari untuk setiap seorang anak.

Ya.

15 minit setiap hari, seorang anak.

Jika anda ada dua orang anak, anda perlu luangkan 30 minit setiap hari. 15 minit untuk anak pertama, 15 minit untuk anak kedua.

Jika anda ada tiga orang anak? Empat orang anak? Lima orang anak?

Anda darabkanlah 15 minit setiap hari itu dengan jumlah anak yang anda ada.

Untuk ibu bapa yang kesuntukan masa harian, biasanya saya cadangkan untuk “qada’” 15 minit harian masa satu dengan satu bersama anak yang gagal dipenuhi itu.

Jika anda hanya mampu luangkan masa pada hujung minggu, darabkanlah 15 minit itu kepada 7 hari. Anda perlu luangkan 105 minit untuk setiap satu anak pada hujung minggu.

 

Jika Anda Ada Lebih Dari Seorang Anak, Luangkan Masa Satu Dengan Satu Boleh Membantu Mengurangkan Fenomena Anak Bergaduh

Berikut saya senaraikan TIGA SEBAB PENTING kenapa luangan masa satu dengan satu boleh membantu mengurangkan anak bergaduh.

 

SEBAB SATU: Perbezaan Personaliti.

Setiap anak ada personaliti yang berbeza. Setiap anak ada kecenderungan, kelebihan dan kekuatan yang berbeza.

Tadikan saya ada tulis tentang keresahan?

Anak kita sebenarnya resah jika kita gagal melihat kecenderungan, kelebihan dan kekuatan diri mereka. Mereka risau jika adik-beradik mereka yang lain “over-shadowed” kecenderungan, kelebihan dan kekuatan mereka ini.

Mereka resah jika kita gagal lihat keistimewaan mereka ini kerana kita sibuk melihat keistimewaan adik-beradiknya yang lain.

Kerana itu apabila kita meluangkan masa satu dengan satu dengan anak kita, kita perlu lakukannya secara “child-directed”. Biarkan anak kita yang rancang aktiviti apa yang mahu dilakukannya semasa luangan masa satu dengan satu bersama kita.

Dengan cara ini, anak akan berasa puas hati dan kelebihan mereka diraikan dengan baik oleh kita selaku ibu bapanya. Anak yang “content” atau berasa cukup seperti ini, akan berasa kurang keperluan untuk bersaing dengan adik-beradiknya.

 

SEBAB DUA: Resah Tidak Disayangi

Anak-anak memang golongan manusia kecil yang sangat mudah resah. Mereka sering rasa “insecure” atau tidak selamat.

Apabila ibu atau ayah punya anak-anak lain yang perlu disayangi, si abang atau si kakak akan mula rasa kasih sayang ibu atau ayah padanya semakin susut.

Maka, mereka akan cenderung untuk melakukan perkara-perkara yang kita lihat seperti perbuatan untuk mendapatkan perhatian. Mat Saleh panggilnya “attention seeking behavior”.

Pergaduhan, tidak puas hati, perbuatan ala-ala dengki akan kelihatan bagi kanak-kanak yang risau kasih-sayang ibu ayah semakin berkurangan kerana adanya adik-beradik lain.

Apatah lagi jika kita sedang ajar anak kita berkongsi. Anak akan sangat resah permainan mereka diambil oleh adik-beradiknya.

Luangan masa satu dengan satu akan membantu anak-anak yang sentiasa resah diri mereka tidak disayangi ini untuk berasa disayangi. Perhatian dari ibu ayah yang diberikan semasa luangan masa satu dengan satu hanya bertumpu kepadanya tanpa gangguan dari adik-beradik lain.

Ini akan membina emosi-emosi positif dalam diri mereka. Seterusnya, mengurangkan pergaduhan adik-beradik.

 

SEBAB TIGA: Kenal Pasti Kesukaran Anak

Semasa luangan masa personal satu dengan satu, saya sering galakkan ibu ayah untuk memastikan yang anak kesayangan mempunyai penguasaan kemahiran seiring dengan usianya.

Kadang-kala, anak-anak cenderung untuk meluahkan perasaan marah dan kecewa mereka kepada adik-beradik atau ahli keluarga. Anak-anak akan memukul, menjerit atau bergaduh sebagai cara meluahkan rasa marah dan kecewa itu.

Pernahkah anda dengar tentang After-School Restraint Collapse?

Ianya merujuk kepada situasi di mana kanak-kanak menahan emosi-emosi negatif semasa di sekolah, dan meluahkannya apabila pulang ke rumah.

Anak-anak yang mempunyai kelewatan dalam menguasai milestone perkembangannya akan mudah berasa resah dan inferior semasa di sekolah. Anak-anak ini sering berasa rendah diri dan mempunyai estim diri yang rendah.

Maka, anak-anak ini lebih cenderung untuk mengamuk sebagai tanda protes.

Anak-anak yang mempunyai kesukaran bersosial dan bergaul dengan rakan di sekolah juga akan cenderung untuk bergaduh dengan adik-beradik, terutamanya adik-adik yang lebih kecil.

Luangan masa satu dengan satu akan membantu kita mengenal pasti kesukaran yang anak kita hadapi mengikut perkembangan usia mereka.

Anak yang yakin diri, mampu menguasai kemahiran yang diperlukannya untuk survival akan mempunyai perilaku dan emosi yang lebih positif terhadap orang disekelilingnya termasuk adik-beradiknya.

NAMUN….

Saya faham ianya tidak semudah yang dibaca di atas, betul?

Sebagai ibu bapa kita perlu rangka pelbagai strategi untuk kebaikan anak-anak kesayangan kita. Memang akan ada turun naik dalam menguruskan anak-anak.

 

Konsisten. Kerjasama. Timba ilmu. Usaha.

Ini adalah empat kunci penting untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang, in shaa ALLAH.

Semoga perkongsian ini membantu anda yang berhadapan dengan “siblings rivalry” setiap hari di rumah.

Saya kongsikan artikel tambahan untuk anda baca tentang luangan masa satu dengan satu bersama anak:

https://www.psychologytoday.com/us/blog/once-upon-child/201507/the-value-spending-one-one-time-your-children-0

 

 

Share This