Anak banyak karenah selalunya kita akan label mereka sebagai terlebih manja ataupun nakal. Tetapi ada satu perkara yang sangat penting anda sebagai ibu bapa perlu tahu. Yang sangat penting!

Di mana anda perlu kenal pasti:

  • Apa yang anak anda suka dan tidak suka?
  • Apa yang membuatkan anak anda ketawa dan menangis?
  • Apa yang memotivasikan dan mematahkan semangat anak anda?

Tiga (3) perkara ini anda perlu kenal pasti dari anak anda. Apabila anda dah tahu dan kenal pasti punca 3 perkara ini. Mudah untuk anda kawal anak yang banyak karenah selepas itu.

Tetapi macam mana nak tahu dan nak kenal pasti 3 perkara ini?

 

7 Tips Untuk Memahami Anak Yang Karenah.

Sebagai ibu bapa, bukan hanya menyediakan keselesaan untuk anak anda. Anak juga memerlukan anda sentiasa ada dengan mereka ketika mereka dalam keadaan beremosi dan mereka berasa selamat di sisi anda.

Ada beberapa tips yang boleh anda lakukan untuk anda kenal pasti dan lebih memahami anak anda yang mempunyai banyak karenah.

 

1. Pemerhatian

Tips yang sangat mudah dan lebih efektif untuk anda memahami anak anda adalah dengan Pemerhatian. Tunjukkan rasa teruja anda pada apa yang anak anda lakukan dan kongsikan pada anda.

Perhatikan tingkah laku, riak wajah dan perangai mereka ketika makan, tidur, bermain dan beriadah.

Sentiasa ingatkan diri anda, yang mana anak anda sememangnya mempunyai keunikan dan personaliti yang tersendiri walaupun mereka kadangkala banyak karenah dan sering kali buatkan kita pening kepala.

Ketika anda membuat pemerhatian pada anak anda, seboleh-bolehnya elakkan membanding-bandingkan anak anda dengan kanak-kanak yang lain.

“Kenapalah kamu ni nakal sangat. Cuba tengok Hasyim dekat rumah sebelah tu baik saja perangai dia dengar cakap mak dia.”

Tolong, elakkan kerana itu akan buatkan anda semakin stress dan pada masa yang sama akan membuat anak anda terasa rendah diri dan tidak dihargai.

[Baca: Cara Mengatasi Stress Dan Kesan Buruk Stress Pada Otak]

Tanya beberapa soalan ini pada diri anda,

  • Apa yang paling anak anda suka lakukan?
  • Apa reaksi anak anda ketika dia buat sesuatu yang dia tidak suka. Contohnya: Makan sayur, tidur awal dan buat kerja rumah?
  • Bagaimana sosial dia? Adakah dia suka berkongsi dan suka melakukan perkara yang baru?
  • Berapa lama dia ambil keputusan untuk biasakan diri pada persekitaran yang baru? Adakah dia boleh menerima perubahan pada persekitaran baru?

Ketika anda jawab soalan ini, ingat jangan pernah bandingkan anak anda. Perhatikan tingkah laku dia. Ok Ibu Ayah?

Tips yang seterusnya.

 

2. Mendengar

Biarkan anak anda bercerita. Bercerita itu baikkan? Tetapi mendengar itu lebih baik supaya kita lebih memahami apa yang anak anda cuba kongsikan.

Tapi bagaimana nak anak mula bercerita?

Anda sebagai ibu bapa kena mulakan perbualan supaya anak anda akan mula bercerita dan tugas anda pula mendengar apa yang anak anak kongsikan.

Kanak-kanak mereka mungkin tak dapat nak nyatakan dengan jelas apa yang mereka cuba sampaikan. Jadi anda kena perhatikan dan beri perhatian pada 3 perkara ini:

  • Nada Suara: Cara mereka lontarkan perkataan mereka. Kita sebagai orang dewasa dapat bezakan mana suara marah, manja, sedih kan? Perhatikan nada suara mereka.
  • Riak Muka: Mereka akan cuba memberitahu anda bagaimana perasaan mereka. Cuba lihat emosi mereka terhadapa beberapa perkara yang mereka suka, takut dan tidak suka.
  • Bahasa Tubuh Badan: Lihat Bahasa badan mereka. Dari mata, tangan, gaya duduk mereka.

Kita dah cuba untuk mendengar. Tetapi jangan hanya mendengar. Kerana kanak-kanak juga perlu tahu yang anda betul-betul mendengar dan mengambil serious dengan apa yang mereka kongsikan.

Beri respond dengan apa yang mereka kongsikan. Jika ada yang anda tidak faham tanya untuk dapatkan kepastian mereka.

Cuma jangan terlalu banyak cakap dan terlalu banyak pertanyaan pada mereka. Ingat balik tujuan kita, kita nak dengar mereka.

 

3. Tanya Soalan Pada Anak

Seperti yang kita bincangkan tadi, kita bertanya pada anak. Ya tanya sahaja. Tetapi anda kena tanya soalan yang betul.

Memulakan perbualan dengan bertanya soalan terbuka, yang akan mendorong anak untuk berkongsi cerita pada anda.

  • Tanya soalan yang membolehkan mereka berkongsi dengan lebih banyak. Sebagai contoh:

Elakkan: “Adik suka kartun ni?”

Kalau kita lihat, soalan ini akan buat mereka menjawab “Ya / Tidak”

Cuba tanya seperti ini: “Kenapa adik suka kartun ni?”

Nampak tak perbezaan soalan ni? Bezakan.

  • Selain itu, jangan sesekali mengelak daripada menjawab persoalan anak anda. Walaupun anda tidak tahu, anda boleh katakan pada mereka yang anda boleh ada jawapan yang tepat nanti anda berikan jawapan yang betul. Dan pastikan anda beri selepas itu.

 

4. Luangkan “Quality Time” Bersama Anak

Zaman sekarang, ibu bapa kebanyakannya sibuk bekerja. Ada kedua-duanya bekerja dan ada juga hanya suami sahaja bekerja manakala ibu di rumah jaga anak.

Di rumah pun kadang-kadang ibu terlalu sibuk urus urusan rumah. Dan ada juga yang buat “Online Business

Sebenarnya tidak salah, boleh. Tetapi jika anda banyak habiskan masa anak anda begitu sahaja, anda kena ubah dari sekarang.

Kalau anda nak faham kenapa anak anda selalu banyak karenah, anda kena Luangkan Masa anda untuk mereka.

  • Masa yang anda luangkan bersama anak anda ketika di meja makan dan hantar balik sekolah sebenarnya tidak cukup. Anda kena ada satu masa yang memang khas untuk anda bercerita dan bermain bersama mereka.
  • Berbual dengan anak anda. Supaya anda tahu apa yang terjadi di sekolah di rumah, apa yang mereka suka dan tak suka dan apa cerita dan lagu kegemaran mereka.
  • Menurut Dr Gary Chapman, penulis buku 5 Love Language pernah berkata, “Quality Time” tak semestinya anda kena bercakap dan melakukan aktiviti bersama. Anda juga boleh duduk bersama-sama dan perhatian anak anda secara senyap-senyap dan anda boleh lihat perilaku anak anda.

 

5. Kanak-kanak Perlukan Perhatian

Apabila anda dah rancang untuk luangkan masa bersama-sama anak anda, batalkan apa-apa perancangan terutama urusan kerja.

Anak anda berhak untuk dapatkan perhatian anda sepenuhnya selepas anda bekerja pada hari bekerja.

Jika anda cuba bercakap dengan anak anda semasa anda memasak, memandu atau melakukan sesuatu yang lain, kemungkinan besar anda akan terlepas beberapa perkara paling penting yang anak anda nak kongsikan.

Rancangan sekurang-kurangnya 1 aktiviti yang anda boleh lakukan dengan anak anda. Apabila anda berikan sepenuh perhatian pada mereka, mereka akan merasakan selamat, dihargai, disayangi dan diperlukan.

 

6. Beri Perhatian Pada Persekitaran Anak

Kajian telah menunjukan tingkah laku dan perangai anak boleh terbentuk melalui persekitaran. Untuk faham kenapa anak anda banyak karenah, anda kena lihat pada persekitaran.

Bukan hanya di rumah, malah di persekitaran perumahan dan sekolah anak anda.

Kajian juga mengatakan persekitaran boleh mempengaruhi pemkembangan otak anak. Malah mempengaruhi bahasa dan kemahiran kognitif anak anda.

Sebab itu persekitaran ini penting. Kerana tingkah laku anak banyak terpengaruh dengan orang sekeliling dan bagaimana orang sekeliling berkelakuan pada mereka.

Jika kasar, maka kasar. Jika sopan, maka sopan.

Sebagai contoh, jika anak anda sedang agresif dan banyak karenah, anda mungkin nak tahu apa atau siapa yang telah mempengaruhi anak anda untuk berkelakuan seperti itu kan?

Jadi lihat persekitaran anak anda.

 

7. Empati

Apa itu Empati? Empati ini adalah satu tindakan dimana kita cuba merasai apa yang orang lain rasakan dan alami.

Adakala, anda juga perlu berfikiran seperti anak anda. Empati ini adalah salah satu faktor yang sangat penting untuk dibentuk dalam diri anda supaya anda lebih memahami anak anda.

Anda mungkin boleh sedar apa yang sedang berlaku pada anak anda jika mereka kongsikan.

Tetapi anda mungkin tak boleh faham apa yang mereka rasakan jika anda tidak boleh berempati terhadap anak anda.

Jadi ada beberapa langkah yang mungkin anda boleh lakukan supaya anda boleh faham isi hati anak anda.

  • Dengar luahan mereka dan cuba faham apa yang mereka rasakan
  • Gunakan bahasa mereka supaya mereka pun faham dengan anda. Sebelum itu, cuba tanya pada diri anda dan andaikan anda adalah seorang kanak-kanak.

“Adakah saya faham apa yang orang dewasa katakan? Kalau mereka guna bahasa orang dewasa dan rumit?”

 

Anak Banyak Karenah Bijak

 

Sebenarnya anak-anak yang buat perangai ni kadangkala mereka hanya nak perhatian, kasih sayang, dan masa daripada kita. Dan kadangkala kenapa mereka banyak karenah dan suka buat perangai pelik sebabnya persekitaran mereka.

Jadi sebagai ibu bapa anda kena perhatikan anak anda. Kenapa mereka berperangai sebegitu. Pasti ada sebabnya dan tugas anda adalah mencari jawapan.

Semoga dengan tips kali ini anda boleh praktikan dan tahu punca kenapa anak anda suka buat perangai yang banyak karenah itu.

Kongsi info ini pada pasangan, keluarga, saudara mara dan sahabat-sahabat anda. Supaya kita boleh memahami anak-anak kita dan lebih penting lagi hubungan antara ibu bapa dan anak semakin erat.

 

Share This