Kenapa anak-anak saya suka bergaduh? Kalau sudah namanya adik beradik, bergaduh sudah jadi sangat sinonim.

Dari saat mereka celik mata, matlamat mereka hanya untuk melihat adik-beradik mereka sengsara. Kadang-kadang, penyebabnya adalah sekecil-kecil hal. Contohnya sebab susu terlebih 1mm dari abang sahaja. Tapi perang berlarutan sampai ke malam. Agaknya,apa yang menjadi penyebab?


Ingat lagi waktu awal-awal kahwin. Bahagianya rasa bersama pasangan. Hidup berdua, hanya kita dimanja. Hanya mata kita yang ditenung. Hanya pipi kita yang dikucup. Hanya badan kita yang didakap.
 
Bayangkan kebahagian itu bertahan hanya setahun dua. Tiba-tiba si dia meluahkan keinginan nak pasang lagi satu. Allah hancurnya hati. Nak dihalang, dia mampu. Dalam terpaksa, kita cuba redho berkongsi kasih.
 
Suatu hari, bila berjalan bertiga, tiba-tiba datang seorang manusia.
“Masya Allah. Kiutnya bini baru ko ni bang.” Katanya. Kita yang duduk ditepi, bagai tak wujud aje. Yang suami dan madu, tersengih-sengih bangga.
 
Aduhai hati nan duka lara.
 
Tiba satu hari yang lainnya, kita nampak bini kedua pakai baju kita. Cuma baju tu dah tak muat di badan kita. Baju tu pernah jadi baju kegemaran kita. Hangin pulak rasa. Bila diluah pada pasangan, jawapannya buat kita bertambah terluka.
 
“Awak kan dah besar. Saiz dah XL. Madu kau kecik lagi baru XS. Jangan nak berkira. Baju tu lagi sesuai bagi kat madu kamu.”
 
Makin hari, perhatian si suami makin banyak beralih ke bini kedua. Sedang kita terkial-kial nak pakai komputer baru, bini kedua dah tunjuk skil dia. Kita baru nak belajar potong sayur, bini dah siap masak lauk kedua. Argh!! Losernya rasa!
 
Tiba di satu hari, bila suami nak outstation, dia pesan kita suruh jaga bini kedua. Agaknya apa perasaan kita?
 
Perasan atau tidak?
Sebenarnya apa yang kita rasa tu, mungkin itu jugalah apa yang anak pertama rasa. Saat kita menambah ‘teman’ untuk dia bermain, dia lihat teman itu sebagai saingannya. Lepas tu, bila sorang mula tunjuk bersaing, takkan la sorang lagi nak biar diri dibuli.
 
Maka berlakulah pertelingkahan setiap hari. Dari sekecil-kecil perkara, semua boleh jadi penyebab. Untuk mengelakkan anak-anak bergaduh, kita sebagai ibu bapa, harus main peranan.


1. Elak Menyakat

 

Ibu dan ayah. Tahan sikit rasa seronok nak menyakat. Melihat mereka meraung bila disakat memang lucu. Tapi, anak yang disakat menyimpan rasa yang tidak enak dalam diri mereka. Hati-hati bila menyakat. Kita tidak akan sedar sekiranya anak menyimpan perasaan dendam kepada adik beradiknya. Ramai saya jumpa kat luar sana yang bermusuh sesama adik beradik sampai dewasa.



 

2. Promosikan Kehadiran Adik Baru

Mendapat adik baru adalah satu perkara yang besar dalam hidup anak-anak. Sehingga ada yang menunjukkan tanda-tanda stres dan berjauh hati. Adalah penting kita ibu bapa bantu anak-anak bersedia secara mental, supaya mereka tidak terbeban dengan perasaan sedih.

3. Jadi teladan yang baik.

Elakkan bergaduh suami isteri di hadapan anak-anak.  Ia bukan sekadar mencalar emosi anak. Malah perbuatan kita akan beri idea kepada anak-anak bagaimana utuk bergaduh.
 

4. Rasulullah sebagai contoh.

Ceritakan kepada anak bagaimana akhlak Rasulullah ketika disakiti.
“Ingat tak mama cerita. Rasulullah dulu buat baik dengan semua. Walaupun dengan orang yang pernah buli dia. Sampai orang buli tu pun jadi sayang kat dia.”

 

5. Pujuk.

Bila sorang menangis, minta sorang lagi untuk pujuk. Walaupun, kita mak ayah yang buat anak menangis. Sebagai contoh, sekiranya si abang menangis, minta tolong adiknya untuk pujuk.
 

6. Hadiah.

Ajar beri hadiah kepada adik-beradik. Hadiah semudah kapal terbang kertas pun cukup memberi makna jika diberi dengan ikhlas dan cara yang baik.
 

7. Bincang.

Setiap kali berebut, sudah tentu ibu ayah yang terlebih kepala pusing. Tak adil kan!
Jadi, kita bagi peluang mereka adik beradik fikirkan penyelesaian. Minta mereka bincang. Sementara itu, TV akan ditutup atau permainan yang direbut akan disimpan sehingga persetujuan bersama dicapai.

Dalam hal ini, ibu bapa digalakkan untuk tidak ambil peduli, melainkan mereka memerlukan idea untuk mula berbincang.
Sebagain contoh, beri idea, “Boleh Ammar nak mainan Aqlan. Tapi Ammar pilih mana mainan yang nak bagi Aqlan pinjam dulu.”
 
 

8. Puji

Antara cara terbaik untuk anak kekal baik adalah, memuji bila mereka sedang baik. Dan tak ambil peduli bila mereka sedang bergaduh.


9. Buat aktiviti bersama-sama

Buat aktiviti bersama-sama. Galakkan mereka saling menyuap makan, saling peluk dan cium, saling berterima kasih dan meminta maaf.

 

10. Jadi tukang sorak.

Bila sorang lagi sedang usahakan sesuatu, ajak sorang lagi untuk bersorak bagi semangat. Biasakan mereka saling membantu dan menyokong antara satu sama lain.
 

11. Bantu suarakan isi hati kepada adik beradik yang lain.

Ini trik suami saya. Sekiranya anak pertama menangis berebutkan mainan dengan anak kedua, ibu atau ayah perlu jadi orang tengah untuk suarakan kehendak masing-masing.

 

Contohnya, apabila bercakap dengan anak kedua,
“Adik teringin nak main mainan abang ke? Kejap ayah bagitau abang.”
Kemudian, cakap dengan abangnya,

“Abang, adik nak pinjam tu. Sebenarnya abang bagi kan? Tapi abang nak adik mintak elok-elok, kan?”

 

Kadang-kadang, sebagai ibu bapa, tugas kita bukan untuk menyelesaikan pergaduhan mereka. Tapi untuk membantu memberi idea yang lebih baik untuk menyelesaikan konflik tersebut. Pening memang pening. Tapi itulah hakikat hubungan adik beradik. Tak gaduh tak sah! Kita pun dulu macam tu kan? Yang penting, muafakat bila dah besar.
 
Share This