“Siapa yang sepahkan mainan ni?” Jerkah si ibu kepada anaknya. 
“Bukan adik.” Anak menjawab sambil menggeleng kepala. 

Pernah tak dapat situasi macam ini dengan anak-anak? Mereka tidak mengaku kesalahan.

Kalau ada adik-beradik lain, ditudingnya kesalahan kepada si adik yang lebih kecil dan naif – asalkan diri sendiri tidak dipersalahkan. 

Adakah situasi ini dikatakan si anak sedang menipu? Adakah mereka tahu mereka sedang menipu? Adakah semua ‘menipu’ itu adalah menipu? 

Kanak-kanak tidak dilahirkan dengan kod moral atau akhlak secara semulajadi. Di dalam Islam, ada terma ‘mumaiyiz’– secara mudahnya ialah tahu membezakan antara baik dan buruk.

Segala tingkah laku dan moral ini perlu dikenal pasti. Maka, pembentukan moral dan nilai murni lebih mudah dipelajari dengan melihat sekeliling.

Contohnya, mereka akan perhatikan perlakuan orang dewasa seperti ibu bapa. Ia proses yang mengambil masa. 

Lazimnya, untuk kanak-kanak di bawah 3 hingga 4 tahun, mereka bergantung kepada orang dewasa supaya mereka rasa selamat. Mereka sedaya upaya akan lindungi diri supaya tidak dimarahi.

Si anak akan cuba faham situasi sekeliling, antaranya melalui nada dan intonasi suara. Bayangkan, kalau si ibu meninggikan suara sambil bertanya, 

“Adik ke yang conteng dinding ni??” 

“Siapa yang sepahkan mainan merata-rata ni??” 

“Lipstik mama hilang. Siapa yang main ni??” 

Anda rasa, si anak akan mengaku salah? Maka, pilihan yang ada adalah mereka tidak mengaku, atau salahkan orang lain – kerana intonasi si ibu menakutkan mereka. Dalam kes ini mereka terpaksa menipu. 

Untuk yang berumur 4 hingga 7 tahun pula, mereka masih lagi tidak faham peraturan, dan konsep ‘menipu’ mula berkembang. Pada umur ini, mereka mula mencipta dunia imaginasi mereka. Mereka sedang membezakan antara yang betul dan tidak.

Mereka dibanjirkan dengan cerita-cerita dongeng dan benar. Jadi, kadangkala mereka keliru. Kalau suruh mereka bercerita, terserlah kreativiti kanak-kanak ini bercerita, adakalanya di luar kotak.

Kreativiti mereka berimaginasi sangat mengagumkan, bukan? Adakah ini dikira sebagai menipu? 

Kita dibiasakan dengan bahasa sosial atau berbasa-basi untuk berkomunikasi. Ada ketikanya ‘permainan’ bahasa digunakan. Contohnya kita diajar, apabila orang tanya: “Apa khabar semua?” atau “How are you?” Cepat-cepat jawab “Baikkkkk!” atau “I’m fine, thank you.

Walaupun kita tidak sihat mana, mood tak baik, atau rasa nak demam. Tapi, disebabkan skema jawapan biasanya begitu, maka itulah jawapan yang diberi dengan pantas.

Kerana pada umur ini, kanak-kanak tak diajar untuk bermain dengan unsur bahasa. Jadi, dalam perkara ini adakah mereka sedang menipu? 

OK, kita sudah faham sikit perkembangan mereka. Jadi sebagai ibu bapa dan orang dewasa, apa yang kita boleh buat? 

 

Anak-anak Menipu – Peranan Ibu Bapa Dalam Membantu Mereka

Tukar nada suara

Kita tahu yang sepahkan mainan itu anak kita, jadi tidak perlu tanya dengan nada marah. Nanti apabila dijawab ‘bukan saya’, lagi stress si ibu. Yalah, dah lah mainan disepahkan, kemudian tak mengaku pula.

Apa kata cakap baik-baik, lepas habis main, kemas balik. Jelaskan kenapa kena kemas balik, kenapa tak boleh bersepah, dengan nada mengajar. Anda dulu pun tak suka cikgu yang marah-marah semasa mengajar kan? 

Tetapkan peraturan

Contohnya, buat peraturan – nak main boleh, tapi selepas main kena kemas balik, masukkan dalam kotak. Ajar tanggungjawab. Kena ajar ini perlahan-lahan dan berulang kali.

Apabila dah ada peraturan, janganlah terlalu strict. Benarkan rundingan berlaku. Samalah halnya peraturan di sekolah. 

Cakap dan buat

Ibu bapa ialah role model si kecil. Kadang-kadang kita tak perasan, benda yang selalu buat nampak remeh tapi memberi impak yang besar kepada anak-anak.

Contohnya si anak melihat ayahnya melanggar lampu isyarat; atau terdengar perbualan si ibu yang menyuruh si ayah jawab telefon untuk cakap si ibu sibuk masak, sedangkan ibu memang lapang dan tak buat apa-apa.

Kita tak sedar, sekeliling kita ada CCTV bergerak – iaitu anak-anak yang merakam segalanya. (Cikgu di sekolah pun perlu jaga perangai ya!) 

Seimbangkan input

Ada banyak jenis buku cerita, bukan kisah dongeng atau fairy tales saja. Fakta pun boleh diceritakan, contohnya sirah nabi dan sahabat, cerita sejarah, atau fakta sains sekali pun.

Seimbangkanlah kerana semua jenis cerita ini mampu meningkatkan kreativiti dan imaginasi si kecil. 

• Beri galakan (reinforcement)

Puji peluk cium apabila mereka buat baik. Sekiranya anak buat kesalahan, beritahu apa yang mereka salah daripada memarahi. Malah, tak salah untuk kita puji si anak sebab mengaku kesalahan.

Pesan pada mereka, akan datang, jangan buat lagi. Sekali-sekala, pandang dari sudut berbeza. 

***

Gejala anak-anak menipu perlu ditangani seawal mungkin. Takut-takut apabila mereka sudah terbiasa, mereka tak anggap itu salah, dan lama-kelamaan menjadi tabiat. 

Jadi, betul ke selama ini kita dimomokkan dengan ‘kanak-kanak tidak pandai menipu’ adalah benar? 

Bergantung pada keadaan. Masakan diharapkan si anak ketam berjalan lurus, sedangkan si ibu pun berjalan senget? 

 

 

Share This