Seronoknya melihat anak yang dilahirkan sihat dan normal membesar di depan mata kita. Sejak lahirnya dia ke dunia, obsesi kita pada setiap tingkah lakunya menyebabkan memori telefon kita semakin sendat diisi imej-imej anak yang kita sayangi.

Seluruh hidup kita didedikasikan buat si kecil yang tercinta. Setiap perkembangan dirinya, kita rujuk di carta ‘milestone’. Kita bangga bila dia meniarap, berguling, merangkak dan mencapai barang pada usia yang ditetapkan.

Sempurna sungguh perkembangannya.

Namun bila anak mula masuk usia setahun, perkembangannya seolah-oleh merosot. Ibarat main dam ular, bila hampir sampai nak ke hujung game tiba-tiba kita ter’pijak’ ular dan kembali ke beberapa petak belakang.

Bila dirujuk pada carta perkembangan anak, seolah-olah anak mengalami pengunduran perkembangan. Carta ‘milestone’ dijeling dingin si ibu. Langsung ia disimpan ayah di bawah katil.

Apa salah ibu. Apa salah ayah. Disangkakan anak ini membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah. Kini anaknya dibawah pengawasan doktor dan perlu lakukan pemeriksaan berkala di Klinik Kesihatan.

Di sini, saya kongsikan 6 Sebab Mengapa Perkembangan Anak Merosot.

1) Terlalu Melindungi

“Jangan panjat. Awak tu perempuan!”

“Jangan usik ini! Nanti rosak!”

“Jangan lari nanti jatuh!”

Terlalu banyak jangan telah menghadkan anak untuk meneroka dunia di sekelilingnya. Haknya untuk berkembang telah dinafikan oleh sifat ibu ayah yang terlalu melindung.

Memanjat tak boleh, lari dihalang, lompat dikatakan tak sopan… Jadi bila agaknya anak nak gunakan tenaga dalam badan mereka?

Bagaimana deria badannya mahu mendapat stimulasi untuk perkembangan otaknya. Macam mana dia nak belajar cause & effect, mengagak bahaya dan mengaggar jarak jika dia tak pernah mencuba?

Bagaimana dia nak sejauh mana kemampuan tangan dan kakinya, kalau banyak benda di halang.

Bergerak aktif kan fitrah anak-anak. Bermain tu keperluan mereka.

Biarkan mereka melompat, berlari, menyanyi dan membebaskan tenaga yang banyak tu, CUMA kawal sebaiknya.

Nak melompat boleh, tapi bukan di sofa jiran. Belikan trampoline. Nak memanjat boleh, tapi bukan panjat almari buku. Pergi panjat grille pintu, atau tunggu ayah belikan wall climbing.

Kalau selama ni kita lihat tangga sebagai lokasi paling merbahaya untuk anak, apakata lihat ia sebagai ‘baby gym’. Jadikan tangga sebagai alat senaman anak. Lepaskan anak dari dukungan. Biarkan mereka merangkak naik dan turun sehingga mampu berjalan menuruni dan menaikinya tanpa perlu berpaut pada railing.

Biar mereka belajar mengagak jarak, belajar seimbangkan badan, memahirkan penggunaan kedua-dua kanan dan kiri badan (koordinasi bilateral) and menguatkan otot-otot badan.

CUMA..PANTAU!

2) Terlalu manjakan anak dengan barangan bayi.

Ya! Manjakan anak dengan barangan bayi juga boleh menyebabkan perkembangan anak terbantut. Saya juga terkejut waktu pertama kali membaca kajian berkenaan.

Bukan barang mainan. Tapi barangan yang melibatkan tempat letak bayi, seperti crib, nursing pillow, bantal bayi, floor seat, jumper, baby sling, high chair, buaian, dan apa sahaja peralatan yang memaksa anak duduk di satu-satu tempat pada satu-satu masa.

Anak yang berisiko menghadapi masalah ini kebanyakannya adalah anak yang dihantar pengasuh, atau dijaga oleh ibu bapa/ penjaga yang sibuk.

Perlatan tersebut sepatutnya hanya diguna pada waktu-waktu terpenting sahaja. Jika tidak ia boleh menyekat pergerakan anak.

Bagaimana perlatan tersebut ‘membantutkan pertumbuhan’ bayi?

  • Bayi perlu menggerakkan kaki, memusing-musingkan kepala dan menggoyangkan badan.
    Tanpa pergerakan-pergerakan ni, mereka tak mampu membina kekuatan dan koordinasi badan,
    dan tak mampu belajar skil-skil yang diperlukan, yang mana skil tersebut juga penting untuk perkembangan beberapa bahagian otak.
    Skil apa? Skil pusingkan kepala, skil merangkak, skill berguling, skil duduk dll.
  • Semasa bayi membesar, bukan lemak badan dan saiz dia sahaja jadi ‘penunjuk’ bahawa dia sedang membesar dengan sihat. Tapi juga otot, tulang, sendi mereka juga perlu aktif digunakan.

Semua ni termasuk dalam stimulasi deria vestibular, proprioceptive dan motor sensori.

Ya, nak kuatkan deria tersebut bukan paksa BAYI lompat atas trampolin atau paksa wall climb pun, cukup sekadar ransang dia bergerak meniarap, merangkak, menggapai barang semua tu.

Saya pernah jumpa ibu yang marahkan bayinya membaling barang. Anak membaling barang bukan sebab anak tu nakal. Membaling barang pada usia masih bayi adalah cara anak untuk meneroka keperluan dan menguatkan tangan mereka.

Tapi jangan pulak kita biarkan kalau anak nak lempar gelas kaca ya!

  • Selain anak tak memenuhi carta milestone yang ditetapkan KK, flat spot pada bahagian belakang kepala juga tanda anak ‘terlalu selesa di pembaringan’ dan kurang bergerak.

Jadi rajin-rajinkan mengacah-ngacah bayi supaya kepala mereka bergerak, otot leher kuat, deria penglihatan, deria sentuhan dan deria motor mereka diransang dengan baik.

3) Pemakanan.

Walaupun otak terdiri daripada 2 % berat badan, tapi ia memerlukan 20% pengambilan tenaga harian.
Banyak tu!

Sebab otak pun buat kerja-kerja berat seperti berfikir, memproses memori, memproses maklumat yang dilihat, memproses perkataan yang nak dituturkan, nak belajar dan sebagainya.

Nak kawal emosi pon kerja otak tau! Tak hairanlah kalau lapar rasa nak marah, betul tak?

Oleh sebab itu, sangat penting untuk anak dibekalkan dengan pemakanan yang halal, seimbang dan sihat. Makanan sunnah adalah supplemen yang sangat baik untuk bagi tenaga kat otak selain dari karbohidrat, protein dan vitamin yang kita ambil hari2.

Anak2 sepatutya memerlukan 3 kali makan berat dan 2 kali snek satu hari.

Cth diet yang cantik mengikut pakar pemakanan adalah;

  • 7 pagi makan roti, buah potong dan susu.
  • 10 pagi milo dengan biskut,
  • 1 tengahari, makan nasi dengan lauk protein samaada ikan atau ayam bersama sayur
  • 5 petang, kuih muih,
  • 8 malam, makan berat lagi dan malam, minum susu.

Menurut Dr Rizal, beberapa makanan terproses menghalang perkembangan otak anak-anak.

Contoh makanan seperti yoghurt berperisa banyak gula, sosej, french fries, salad dressing, mayonis, ais krim, jus buah yg bergula dan minuman berperisa mcm air tin, air kotak.

4) Komunikasi yang tidak sihat atau kurang komunikasi.

Ada ibu bapa yang berpendapat, anak-anak yang diajar dengan kekasaran lebih mudah beradaptasi dengan dunia luar yang penuh kekejaman.

Apa yang sebenarnya berlaku, otak emosi iaitu otak kanan dan otak logik iaitu otak kiri tidak dilatih dari kecil untuk berintegrasi dengan baik. Ia menyebabkan anak mengalami masalah kawalan diri (hampir menyamai tanda-tanda anak ADHD, autism dsb), seperti anxiety berlebihan, sukar mengawal marah, tidak faham giliran, mudah kecewa, sukar terima perubahan atau apa sahaja bentuk ‘kurang imun emosi’.

Sebagai ibu bapa, kita perlu menjadi jurulatih emosi yang baik untuk anak.

Jangan lupa, tanpa perhatian dan playtime bersama anak, kita ibarat mendera mental mereka dalam diam.

Baca artikel berkaitan cara berkomunikasi dengan anak

5) Stress

Stress di kalangan anak-anak biasa berlaku bila anak menerima perubahan, contohnya pindah rumah, kehilangan ayah/ ibu, mendapat adik baru, baru nak belajar duduk dengan pengasuh dan kurang mendapat perhatian dari ibu bapa sebagai mana kebiasaannya.

Saya pernah mengalami saat anak sulong saya stress apabila saya tiba-tiba menjadi lebih pemarah dan tidak ada masa melayan anak-anak kerana terlalu sibuk menguruskan tugas freelance.

Akibat daripadanya, Ammar yang sudah 2 tahun diaper free kembali kencing malam beberapa hari berturut-turut. Dia yang kebiasaannya banyak bercakap tiba-tiba lebih pendiam. Dia yang kebiasaannya aktif di rumah tiba-tiba memilih untuk hanya duduk di sofa.

Adiknya yang kebiasaannya jadi sahabat karib pun dilayan seperti musuh; tak mahu berkongsi dan dikasari bila diajak bermain sekali. Dia juga mula semula dengan tabiat menghisap baju.

Saya ambil masa hampir 2 minggu untuk ‘tune’ semula anak-anak saya menjadi diri mereka yang sebelumnya. Saya juga terpaksa tune jadual dan proriti saya serta set mood saya sebaiknya.

6. Ransangan Gadget Yang Berlebihan.

Telah banyak kajian yang membuktikan penggunaan gadget yang berlebihan mampu meningkatkan pelbagai risiko yang menakutkan, antaranya

VIRTUAL AUTISM

Istilah “Virtual Autism” dicipta oleh ahli psikologi klinikal Romania Dr Marius Zamfir untuk menjelaskan anak-anak yang punya tanda-tanda autism akibat pendedahan gadget dan tv secara berlebihan.

Yang mana tanda-tanda tersebut hilang sama sekali bila anak-anak beralih ke permainan sebenar, mendapat ransangan interaksi dengan penjaga, bermain dengan kanak-kanak lain dan dipisahkan dengan gadget.

Pun begitu, janganlah dijeling anak yang sedang memegang gadget ibarat mereka sedang melakukan dosa besar. Nak bagi boleh, tapi kawal sebaiknya. Yang berdosa besar adalah bila diberi kepada anak bawah 2 tahun.

Selepas 2 tahun, had yang dibenarkan cuma 2 jam sehari. (total ye, bukan 2 jam yang berterusan)

MASALAH SENSORI

Anak-anak yang diagnose dengan masalah neurologi seperti ADHD, autism, disleksia, dispraksia dan sebagainya mempunyai masalah pemprosesan deria yang dinamakan SPD (sensory processing disorder).

SPD disebabkan oleh kurang stimulasi terhadap deria-deria badan.

Jika anak kita buat tak tahu bila nama mereka dipanggil, ia adalah salah satu tanda bahawa suara anda tak dapat melawan bunyi-bunyi sedap di gadget yang dah mendominasi deria pendengaran mereka.

Jika anak kita mudah terganggu dengan corak baju cikgu, warna cat di dinding dan bunyi kipas dalam kelas, ia adalah petanda deria audio dan visual mereka terlebih ransangan.

Jika anak kita menjerit sewaktu dipakaikan kasut, atau geli menyentuh pasir dan panik memegang ais, sudah sampai masanya tangan mereka memegang objek pelbagai tekstur, suhu dan berat untuk menstimulasi deria sentuhan.

Jika anak tak mempu melintas longkang, melompat ke depan, takut duduk di mangkuk tandas dan takut berjalan di tengah orang ramai, dan sampai masanya badan mereka diguna untuk meransang deria sendi dan keseimbangannya.

KEROSAKAN MATA
Kes kerosakan saraf mata anak dah beberapa kali direkodkan beberapa tahun kebelakangan ni. Beberapa kali juga ia telah viral dan menjadi perhatian netizen tapi masih belum ramai yang serik memberi gadget tanpa kawalan kepada anak.

Regangan bebola mata dalam jangka masa tertentu boleh menyumbang kepada risiko myopis atau rabun jauh. Apa yang lebih menakutkan, saraf mata anak rosak hingga ia tak mampu lagi dikawal oleh diri sendiri. Kes kerosakan saraf mata terlalu kerap menjadi ‘kes viral’ apabila beberapa orang kanak-kanak dilaporkan mengalami masalah tersebut. Salah seorangnya adalah anak kepada penyanyi anah air, Lan Solo. Mata berkedip tanpa henti, tak mampu memandang ke arah lain malah kekejangan pipi juga berlaku menyebabkan mulut kelihatan herot.

RANSANGAN BAHASA DAN PERCAKAPAN

Anak perlu mendengar 11 juta perkataan dari penjaga/ ibu bapa setiap tahun, untuk otak mereka merekod, memahami dan mengguna lebih kurang 1000- 2000 perkataan setahun.

Masalah ‘speech & language’ dikalangan anak-anak akan berlaku sekiranya mereka mendengar kurang dari 3 juta perkataan setahun dari penjaga/ ibu bapa.

Anak mungkin belajar pelbagai perkataan dalam gadget, tetapi mereka perlu tau mengaplikasikan perkataan tersebut dalam kehidupan harian.
Bukan bercakap seperti watak kartun yang ditontonnya dalam telefon.

SOSIAL & KOMUNIKASI

Bilakah masa anak nak uji atau tajamkan kemahiran komunikasi dan sosial, jika sepanjang masa mereka dibiarkan dengan gadget? Mereka juga perlu membina kemahiran sosial dan komunikasi yang lain seperti menyatakan keinginan, berkongsi, menunggu giliran, memberi tumpuan dan mengikut arahan.

TANTRUM

Kanak-kanak mempunyai tenaga yang banyak. Badan mereka ibarat sumber tenaga yang tak pernah habis. Sekiranya tenaga tersebut tidak dibebaskan, dan terperangkap sewaktu leka mengadap gadget, dikhuatiri tenaga tersebut dilepaskan secara mendadak, yang menyebabkan mereka tantrum.

OTAK ROSAK

Ensiklopedia Brain dan buku pendidikan seks kanak-kanak tulisan Dr Anayasmin (Robo Bercerita Tentang Manusia) ada menyebut tentang ketagihan gadget yang menyebabkan pengeluaran Dopamin yang berlebihan di dalam otak.

Dopamin adalah hormone ‘syok’ yang jika distimulasi secara berlebihan, ia akan membanjiri dan merosakkan struktur dalaman otak yang penting.

Masalah kemerosotan perkembangan anak dapat diatasi dengan tindakan segera dari kita. Rujuk Kementerian Kesihatan berdekatan dan buat saringat awal untuk memastikan sejauh mana anak memerlukan intervensi dari Pakar Terapi Carakerja.

Share This