20 tips didik anak hiperaktif dan kurang tumpuan

20 tips didik anak hiperaktif dan kurang tumpuan

Apa juga terapi bagi anak-anak yang hiperaktif dan kurang tumpuan (samaada dalam kategori ADHD, autism atau masalah pembelajaran) mesti melibatkan tiga aspek penting kehidupan mereka: 1) modifikasi di rumah oleh ibu bapa 2) terapi formal oleh jurupulih carakerja/ terapi pertuturan/psikologis 3) modifikasi di sekolah oleh guru.

Kerana itu saya selalu libatkan guru dalam proses memahami keadaan sesetengah kanak-kanak yang didiagnosa dengan keperluan khas.

Oleh kerana ramai berkongsi isu hari pertama persekolahan hari ni, saya kongsikan beberapa tips untuk guru-guru membantu pelajar yang termasuk dalam kategori berkeperluan khas, secara khusus dalam menangani isu kurang tumpuan dan hiperaktif. Sebahagian tips ini juga boleh diaplikasi bagi proses pembelajaran anak-anak secara umum. Terutama generasi alpha hari ini yang secara fitrahnya generasi ‘hands-on’.

Guru perlu faham bahawa sikap mudah lupa, kurang fokus, mudah terganggu, sukar mengurus tugasan yang rumit, impulsif dan sukar bersabar adalah antara GEJALA gangguan ADHD. Ianya BUKAN perilaku yang terhasil dari sikap nakal atau ingin mencabar kesabaran guru-guru. Modifikasi yang perlu dilakukan adalah sebahagian dari usaha kita memahami dan membantu kepayahan yang mereka alami seterusnya membantu mereka beradaptasi dengan cabaran tersebut.

1. Wujudkan rutin yang konsisten sewaktu proses pembelajaran – Ini kerana anak-anak ini biasanya mudah terganggu dengan sesuatu yang bersifat ad-hoc, tidak teratur atau aktiviti bebas. Biasakan untuk maklumkan dengan jelas kepada mereka sebarang arahan/perancangan. Sebagai contoh maklumkan yang 10 minit pertama kita akan lihat kerja sekolah, seterusnya dan seterusnya…

2. Kurangkan gangguan – letakkan pelajar dihadapan, elakkan tepi tingkap, elakkan duduk disebelah pelajar yang bising, elakkan kedudukan memandang sisi (90 darjah dari papan putih)

3. Gunakan ‘buddy system’ – pasangkan anak ini dengan rakan sekelas yang paling matang dan berkemampuan untuk mengingatkan anak ini dengan aktiviti yang berlaku dalam kelas.

4. Sediakan anak dengan proses transisi – maklumkan dari awal apa yang berlaku sewaktu proses transisi seperti contoh pertukaran subjek, buku, waktu rehat dan aktiviti luar kelas.

5. Beri ruang pergerakan – Anak yang hiperaktif akan rasa tidak selesa jika tidak dapat bergerak pada sela masa tertentu. Benarkanmereka untuk bergerak selagi tidakmenggangu proses pembelajaran. Sevagai contoh benarkan mereka ke tandas lebih kerap, mengasah pensil, beri tugasan padam papan putih dan sebagainya. Juga boleh berikan alat yang tidak berbunyi seperti stress ball untuk release energy berlebihan yang ada.

6. Bina hubungan yang baik dengan mereka – hubungan yang positif kan menerbitkan emosi yang positif dan seterusnya menarik minat mereka. Contohnya sebut nama, puji mereka, letakkan hasil kerja yang bagus dihadapan kelas, bergurau dengan mereka dan sebagainya.

7. Puji dan beri perhatian kepada sifat positif mereka.

8. Tanya dan bukan menghukum – apabila mereka melakukan kesilapan, ajar mereka dengan bertanya apa kesalahan yang mereka lakukan, apa alternative tindakan dan apa kesan perbuatan. Cara ini lebih mengesani mereka untuk jangka masa panjang.

9. Beri pilihan – terutama sekiranya mereka hilang focus akibat terlalu banyak tugasan. Beri pilihan tugasan alternate seperti kerja rumah yang berlainan dan beri mereka memilih untuk menghabiskanmasa mengikut pilihan kerja mereka. Kajian menunjukkan kanak-kanak ADHD lebih produktif apabila diberi pilihan.

10. Peringatan visual – kanak-kanak ini lebih peka pada ransangan visual dari audio – Contohnya sediakan formula atau contoh teori yang penting dalam bentuk gambarajah di hadapan kelas sabagai rujukan mereka.

11. Galakkan pembelajaran ‘hands-on’ – aktiviti kinestatik dalam pembelajaran membantu mereka untuk lebih menghayati konsep pengajaran berbanding aktiviti satu hala.

12. Tetapkan objektif setiap pembelajaran (learning expectation) kepada mereka – sebaiknya secara visual dan verbal dalam bahasa yang ringkas dan mudah difahami

13. Tetapkan objektif tingkahlaku (behavioural expectation) sewaktu proses pembelajaran – contohnya bagitahu hanya “boleh mencelah sekiranya angkat tangan dan cikgu benarkan”, “tidak boleh usik kawan sebelah..”

14. Pecahkan aktiviti kerja dan rehat – contohnya (10:2:10) (menulis: berhenti dan squeeze stress ball: menulis semula)

15. Ajar mereka konsep note-taking – sediakan buku kecil peringatan kerja sekolah atau pesanan cikgu

16. Sediakan mistake checklist – contohnya anak yang suka tulis terbalik – letak cue card disebelah – untuk B – “b – betul””d – salah”

17. Ajar mereka ‘cara belajar’ – bukan sekadar mengajar bahan. Ambil ruang khusus untuk tunjukkan mereka cara memahami konsep, formula dan cara mengulangkaji

18. Gunakan ‘timer’ atau penunjuk masa – kebanyakkan anak-anak ADHD mempunyai masalah untuk memahami konsep masa – maka mereka rasa tertekan atau tidak sabar akibat tidak tahu berapa lama masa yang ada. Gunakan timer atau gambarajah masa untuk menunjukkan masa yang mereka ada untuk sesuatu aktiviti. Seolah-olahnya perlu ada jam pasir dihadapan, baru mereka ada ‘visual cue’.

19. Bina hubungan dengan ibubapa agar dapat berkomunikasi dengan mereka tentang masalah dan cabran. Setkan objektif bersama agar dapat saling memahami ruang lingkup masing-masing dalam mebantu kanak-kanak ini.

20. Banyakkan bersabar dan belajar memahami.

Saya tahu, 20 permintaan ini mungkin dianggap terlalu tinggi. Namun saya menaruh keyakinan, guru-guru mampu sedikit sebanyak berusaha bagi memastikan anak-anak dari kelompok ini mendapat yang terbaik dalam usaha mereka membantu ana-anak ini.

Sedikit usaha yang kita lakukan, besar kesannya pada mereka pada jangka masa panjang. Hasilnya kita serahkan pada tuhan. Sebagai pendidik, anggaplah semua usaha ini sebagai suatu Ibadah untuk ladang akhirat kita.

Terima kasih buat semua guru yang memahami keistimewaan mereka dan berusaha meraikan kepelbagaian dalam proses menuntut ilmu.

 

DR ROZANIZAM ZAKARIA Pensyarah dan Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahli Jawatankuasa Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )